Bebanan struktur 'L- Shape' punca runtuhan parit - MBSJ

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Punca kejadian runtuhan struktur parit utama menyebabkan tujuh kenderaan kenderaan terbenam di Jalan BPU 6, Bandar Puchong Utama, Puchong pada Isnin telah dikenalpasti.

Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memaklumkan, runtuhan sepanjang 41 meter itu disebabkan kegagalan struktur 'L-Shape' menahan beban sedia ada di tapak kejadian.

Menurut kenyataan itu, keadaan bertambah buruk apabila paras air di parit utama terlalu tinggi akibat taburan hujan lebat memberi lebihan tekanan kepada struktur L-Shape berkenaan.

"Kejadian runtuhan ini melibatkan tujuh kenderaan yang memakir di kawasan tersebut namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

MBSJ memberitahu, beberapa tindakan segera telah diambil antaranya memasang kanvas bagi memastikan air permukaan tidak mengalir masuk ke tempat runtuhan.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pemasangan plastik barrier (penghalang) di lokasi kejadian turut dijalankan bagi tujuan keselamatan pengguna jalan raya dan orang ramai.

"Selain itu, MBSJ juga akan menanam cerucuk kepingan sementara sepanjang 53 meter di kawasan runtuhan bertujuan menahan pergerakan tanah bagi mengelakkan berlakunya kejadian lebih buruk," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, bagi tindakan jangka panjang, MBSJ akan melaksanakan pembaikan secara kekal dengan memasang struktur 'L-Shape' dan lain-lain kerja berkaitan di sepanjang jajaran runtuhan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, orang awam diminta sentiasa berhati-hati dan melaporkan terus jika sebarang aduan atau permasalahan melalui aplikasi Aduan Awam MBSJ atau Pusat Panggilan MBSJ (Command Center) di talian 03 80247700.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, tujuh kenderaan terjejas akibat mendapan tanah di kawasan tempat letak kenderaan MBSJ, Bandar Puchong dalam kejadian petang Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kejadian dilaporkan jam 6.46 petang itu, membabitkan enam van dan sebuah lori, masing-masing empat van Toyota Hiace, sebuah van Kindo dan Maxus serta sebuah lori satu tan.