Bersatu jelas terdesak - MP Labuan

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyat yang mengkhianti parti didakwa sebagai langkah terdesak bagi menyekat lebih ramai ahli Parlimennya mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berkata, ini kerana kepimpinan parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menyedari masih ada dalam kalangan wakil rakyatnya akan menyokong Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun katanya, sebarang usaha untuk meminda perlembagaan parti bukan sesuatu yang mudah seperti dibayangkan kerana banyak proses yang perlu diambil

"Proses pertama Bersatu terlebih dahulu perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa untuk pinda perlembagaan yang akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan.

"Kalau misal kata dalam tempoh tiga bulan itu, esok contohnya ada lagi ahli Parlimen isytihar sokong Perdana Menteri, apa yang Bersatu boleh buat? Bagi saya dalam keadaan sekarang jelas Bersatu terdesak.

"Bagi saya sendiri, saya tidak berdepan dengan masalah sekiranya parti ingin perlembagaan kerana saya isytihar sebelum ada usaha untuk pinda, malah saya sudah digantung pun (keahlian). Pindaan perlembagaan tidak terpakai kepada tarikh sebelum dan tindakan hanya boleh diambil kepada ahli Parlimen yang isytihar selepas pindaan diluluskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Bersatu untuk meminda perlembagaan parti bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang mengkhianati parti.

Setiausaha Agungnya pada Isnin dilapor berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas parti berkenaan yang berlangsung di ibu pejabatnya pada malam Ahad bagi menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyatnya daripada berulang lagi pada masa depan

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan terdapat beberapa lagi ahli Parlimen Bersatu akan menyatakan sokongan kepada Anwar, Suhaili menegaskan ia tidak mustahil kerana kekecewaan mereka terhadap barisan kepimpinan parti.

Ujarnya, sikap ego pimpinan parti untuk menolak berunding dengan kerajaan mengenai peruntukan ahli Parlimen pembangkang sangat mengecewakan.

"Keputusan saya 100 seratus isytihar sokongan kepada Perdana Menteri demi rakyat dan pembangunan Labuan itu sendiri. Kalau tidak ada peruntukan, kita jadi wakil rakyat untuk apa? Ahli Parlimen (pembangkang) dinafikan hak peruntukan oleh kerajaan kerana keputusan beberapa pemimpin (Bersatu). Itu sahaja," katanya.

Suhaili merupakan ahli Parlimen Bersatu pertama mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri sebelum disusuli lima yang lain.

Lima lagi ialah Ahli Parlimen Bersatu yang berbuat demikian ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).