Henti teroka hutan Kledang Saiong

Sebahagian penduduk Taman Chepor Sentosa berkumpul bagi membantah peneroka hutan Kledang Saiong yang dibimbangi memberi kesan buruk kepada mereka.
Sebahagian penduduk Taman Chepor Sentosa berkumpul bagi membantah peneroka hutan Kledang Saiong yang dibimbangi memberi kesan buruk kepada mereka.
A
A
A

CHEMOR - Penduduk di Taman Chepor Sentosa di sini membantah tindakan pihak tertentu yang meneroka hutan Kledang Saiong kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Chepor Sentosa, Shamsul Kamar Ani berkata, bantahan tersebut dibuat kerana bimbang kesan yang akan diterima penduduk memandangkan kerja-kerja penerokaan tersebut sangat hampir dengan kediaman penduduk.

Menurutnya, tindakan penduduk membuat bantahan tersebut berasas ekoran kejadian banjir lumpur yang pernah berlaku beberapa tahun lepas disebabkan penerokaan secara haram untuk tujuan pertanian.

"Kita bimbang projek yang sedang dijalankan di kawasan itu akan menyebabkan kesan-kesan buruk seperti tanah runtuh, banjir kilat dan banjir lumpur.

"Dalam dua, tiga tahun lalu pernah berlaku banjir lumpur di kawasan perumahan ini akibat penerokaan secara haram untuk tanaman jagung, namun sampai sekarang masalah itu belum pun diselesaikan," katanya pada sidang media di Dewan Surau Taman Chepor Sentosa di sini hari ini.

Shamsul Kamar menunjukkan gambar banjir lumpur yang pernah dialami penduduk Taman Chepor Sentosa akibat peneroka haram aktiviti pertanian berhampiran kawasan perumahan itu ketika sidang media hari ini.
Shamsul Kamar menunjukkan gambar banjir lumpur yang pernah dialami penduduk Taman Chepor Sentosa akibat peneroka haram aktiviti pertanian berhampiran kawasan perumahan itu ketika sidang media hari ini.

Shamsul Kamar berkata, dalam keadaan penerokaan pada skala kecil itu pun memberi kesan kepada penduduk, penerokaan kawasan hutan Kledang Saiong itu pasti akan memberi impak besar kepada kawasan yang didiami lebih 1,000 penduduk.

Beliau berkata, disebabkan sekarang bukan musim tengkujuh, kesan penerokaan hutan tidak ketara dan disebabkan itu penduduk kampung mendesak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya menghentikan kerja-kerja pemusnahan kawasan hutan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, laporan polis sudah dibuat berkenaan isu penerokaan tersebut bagi mendesak tindakan segera.

Kawasan penerokaan yang begitu hampir dengan kawasan taman perumahan itu dikhuatiri memberikan kesan alam sekitar kepada penduduk setempat. - Foto Persatuan Aktivis Sahabat Alam
Kawasan penerokaan yang begitu hampir dengan kawasan taman perumahan itu dikhuatiri memberikan kesan alam sekitar kepada penduduk setempat. - Foto Persatuan Aktivis Sahabat Alam

Sementara itu, Pengerusi Surau Taman Chepor Sentosa, Datuk Ahmad Mohd berkata, dalam masa sebulan ini tiada lagi kedengaran kicauan burung dan ungka sahut menyahut di kawasan hutan tersebut kerana kerja-kerja penebangan hutan yang dilakukan.

Menurutnya, tindakan penerokaan hutan Kledang Saiong juga menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk bagaimana boleh diluluskan sedangkan kawasan Lembah Kinta telah diisytihar sebagai kawasan Geopark Kebangsaan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Hentikanlah segera penerokaan hutan di kawasan itu, bukan sahaja ia mengganggu ketenteraman, keselamatan, kesejahteraan penduduk tetapi melanggar titah Sultan Perak yang mengisytiharkan Lembah Kinta sebagai kawasan Geopark Kebangsaan," katanya.

Tinjauan yang dibuat oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menerusi dron mendapati jarak kawasan hutan yang diteroka kira-kira 50 meter dari kawasan perumahan tersebut.

Malah dalam tinjauan itu juga kelihatan pergerakan kenderaan dipercayai lori di kawasan tersebut.

Tinjauan udara menggunakan dron milik Persatuan Aktivis Sahabat Alam mendapati terdapat pergerakan kenderaan dipercayai lori mengangkut hasil hutan di kawasan hutan Kledang Saiong.
Tinjauan udara menggunakan dron milik Persatuan Aktivis Sahabat Alam mendapati terdapat pergerakan kenderaan dipercayai lori mengangkut hasil hutan di kawasan hutan Kledang Saiong.

Sebelum ini, isu penerokaan kawasan tersebut pernah didedahkan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) pada 8 Disember tahun lalu.

Presiden SAM, R Meenakshi berkata, daripada pemerhatian pihaknya mendapati kawasan pembalakan yang merupakan sebahagian kawasan Geopark Lembah Kinta itu telah dimusnahkan dan dieksploitasi sejak 1 November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: SAM gesa henti eksploitasi Hutan Simpan Kledang Saiong

Susulan pendedahan itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada 11 Disember 2019 menjelaskan pembersihan tanah di Hutan Simpan Kledang Saiong berhampiran Chemor, di sini merupakan projek pembangunan tanah dusun dan bukannya digondolkan bagi tujuan aktiviti penebangan balak seperti yang didakwa SAM.

Dalam kenyataan itu, PKNP memaklumkan projek itu melibatkan pembangunan bersama syarikat Insan Permata Sdn Bhd bagi membangunkan tanah persendirian milik PKNP yang berkeluasan 160.06 hektar terletak di kawasan Perak Hi-Tech.