Mansuh pencen: Ini tanggungjawab kerajaan cari dana - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

TEMERLOH - Pas menegaskan Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab mencari dana bagi pembayaran pencen kepada pesara dan bukannya mengambil tindakan dengan memansuhkan skim persaraan penjawat awam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, alasan kerajaan terpaksa berbelanja besar dipertikaikan dan memberitahu bahawa kerajaan sebelum ini pun berdepan masalah sama, namun tidak mengambil tindakan sedemikian.

Beliau turut mendakwa bahawa hak untuk berpencen kakitangan awam termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kenapa kerajaan kini kata tak mampu tanggung lagi?

"Ini tanggungjawab kerajaan mencari dana kerana hak untuk berpencen kakitangan awam termaktub dalam Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pencen 1980 (Akta 227)," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada siang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pas Pahang di Kompleks Al-Makmur Kerdau di sini pada Sabtu yang disertai 800 perwakilan dari seluruh Pahang.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Pahang, Abdul Rosli Jabar dan Timbalannya, Andansura Rabu.

Artikel Berkaitan:

Tuan Ibrahim (tengah) bersama perwakilan yang hadir sempena Konvensyen Pas Pahang di Kompleks Al-Makmur Kerdau, Temerloh pada Ahad.
Tuan Ibrahim (tengah) bersama perwakilan yang hadir sempena Konvensyen Pas Pahang di Kompleks Al-Makmur Kerdau, Temerloh pada Ahad.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pemansuhan skim persaraan juga akan menjejaskan sektor tersebut jika hasrat itu diteruskan, selain penjawat awam hilang motivasi kerana tidak lagi memiliki pencen selepas tamat tempoh perkhidmatan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam bermula Februari ini berstatus tetap tetapi tidak berpencen.

Ahmad Zahid berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ujar Ahmad Zahid, pendirian itu dibuat kerajaan selepas menilai bahawa jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, jumlahnya akan mencecah RM120 bilion menjelang 2040.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, kerajaan perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat jika negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam.