TMK 2024: Tambah baik pengangkutan awam di Kelantan

Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra. Foto Bernama
Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Belia Islam (ABIM) Kelantan mohon kerajaan negeri menambah baik pengangkutan awam bagi kemudahan pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024).

Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad berkata, perkara itu boleh dilaksanakan menerusi penambahan jumlah pusingan bas rentas daerah, masa operasi serta akses pengangkutan awam itu ke lokasi pelancongan yang lebih pelbagai.

"Perkara menjadi keperluan mendesak kerana budaya melancong secara 'backpacker' sudah menjadi gaya hidup generasi muda seluruh dunia.

"Kelompok pelancong sebegini mungkin kurang kekuatan kewangan atau kuasa beli yang sederhana, namun kekuatan pelancong 'backpacker' ialah mempromosikan pengalaman mereka di media sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, perkhidmatan bas perlu lebih kerap di kawasan-kawasan penting seperti Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, tiga pintu sempadan yang menghubungkan Kelantan dengan Thailand serta stesen bas utama di setiap daerah.

Ujarnya, setakat pemerhatian ABIM, jumlah bas yang berlegar di lokasi penting itu amat sedikit.

"Contohnya di sempadan Rantau Panjang yang mana terdapat masyarakat dari tiga wilayah Selatan Thailand yang berminat untuk melancong ke Kota Bharu, namun perkhidmatan bas yang disediakan amatlah sedikit.

"Bahkan hentian bas rentas daerah Rantau Panjang juga sudah menjadi lokasi parkir awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, dengan aktiviti waktu malam di Kota Bharu dan daerah lain, amatlah digalakkan sekiranya kerajaan negeri memberikan inisiatif agar perkhidmatan bas di negeri ini dilanjutkan tempoh perkhidmatannya sehingga waktu malam.

Ujarnya, selain itu kerajaan negeri juga disarankan agar mewujudkan integrasi perkhidmatan bas dengan perkhidmatan pemetaan digital seperti Google Maps agar memudahkan pelancong merujuk laluan bas yang perlu mereka ambil.

Mohd Syahiran memberitahu, sudah tiba masanya Kerajaan Kelantan melaksanakan projek bas eletrik yang mana pernah dijanjikan untuk dilaksanakan pada 2018.

"Semoga dengan usul ini Kelantan akan memenuhi keperluan pelancong dan membawa keuntungan berbentuk ekonomi kepada rakyat," katanya.