Belanjawan 2024: Tahun Melawat Malaysia sasar 26.1 juta pelancong

Kerajaan menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia. - Gambar hiasan
Kerajaan menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menetapkan Tahun Melawat Malaysia pada 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 billion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

“Peruntukan itu merangkumi penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026, kerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi dan penganjuran acara pelancongan dalam dan luar negara, bantuan kepada lebih 200 penggiat kebudayaan dalam menganjurkan aktiviti seni dan budaya.

“Ia juga termasuk geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia dan dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra muslim di Malaysia,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan turut memberi peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan seperti Tasik Timah Tasoh di Perlis, Kenong Rimba Park di Pahang, dan Pantai Teluk Kemang di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, tambah beliau, sejumlah RM80 juta juga disediakan bagi memelihara dan

memulihara bangunan dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh UNESCO antaranya di Gua Niah, Sarawak; Lembah Bujang, Kedah dan Royal Belum, Perak.

Ujarnya, RM20 juta juga disediakan kepada Think City untuk mengangkat dan memulihara nilai Kuala Lumpur sebagai bandar raya kreatif dan budaya.

Artikel Berkaitan:

“Menyedari sumbangan besar sektor pelancongan dan pembuatan kepada pembangunan negara, Kerajaan komited untuk memperkenalkan inisiatif baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia melibatkan beberapa kemudahan.

“Pertama, memudah cara kelulusan Pas Penggajian bagi pelabur strategik dalam sektor utama. Kedua, memperkenalkan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian bagi menampung keperluan tenaga mahir industri.

“Ketiga, menambah baik kemudahan Visa-On-Arrival, pas lawatan sosial dan tawaran Multiple Entry Visa bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutamanya dari negara Timur Tengah, India dan China,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan juga telah bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan Malaysia My Second Home (MM2H) bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke Malaysia.

“Penambahbaikan MM2H dijangka dapat meningkatkan aktiviti pelaburan dalam pasaran kewangan Malaysia dan industri hartanah negara,” ujarnya.