Wan Junaidi: Tuan polis kini jadi Tuan Yang Terutama

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUCHING - Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar merupakan figura yang pernah berada di barisan paling hadapan dalam mempertahankan kedaulatan tanah air daripada ancaman komunis selain berpengalaman luas dalam urusan pentadbiran negara.

Mempertaruhkan nyawa dalam beberapa siri operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara di kawasan Miri, Sibu serta Kapit semasa berkhidmat bersama Pasukan Polis Hutan, menjadi bukti kesetiaan patriot itu semasa negara berada dalam tempoh sukar.

Wan Junaidi, 77, hari ini menerima surat cara pelantikan jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Jan 2024 hingga 26 Jan 2028.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

Dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya), Sarawak pada 1 Februari 1946, Wan Junaidi menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari tahun 1968 hingga 1973, dan dalam tempoh itu beliau juga pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom).

Beliau kemudiannya mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di University of Buckingham, England pada tahun 1978 sebelum menjadi pengamal undang-undang dari 1982 hingga 2008.

Permulaan perjalanannya sebagai seorang wakil rakyat bermula pada 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam Pilihan Raya Umum kelapan yang dipertahankannya untuk dua penggal seterusnya, sebelum berpindah ke Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004 dan berjaya mempertahankannya untuk empat penggal berturut-turut sehingga pilihan raya umum pada 2022.

Artikel Berkaitan:

Di peringkat Persekutuan pula menyaksikan beliau dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari tahun 2008 hingga 2013.

Beliau memegang pelbagai portfolio penting seperti Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2015, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2015 hingga 2018) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2020 hingga 2021).

Sepanjang perkhidmatannya di peringkat Persekutuan, jawatan yang paling memberi impak dan meninggalkan legasi beliau adalah semasa dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada 2021 hingga 2022.

Walaupun berkhidmat dalam satu tempoh yang singkat, pelbagai pencapaian signifikan telah diraih beliau antaranya pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ serta berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Kejayaan beliau yang membawa kepada pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan sebahagian hak Sarawak yang terhakis telah diiktiraf Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai antara sumbangan yang paling signifikan Wan Junaidi.

Abang Johari berkata, Wan Junaidi berjaya mendapatkan kelulusan Parlimen untuk meminda Perkara 160 Perlembagaan bagi memasukkan Perjanjian Malaysia (MA63), Laporan Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Perkhidmatan dan kepakaran Wan Junaidi sememangnya tidak dapat disangkal apabila pada tahun 2023 beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-19 pada 19 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Meletakkan keutamaan dalam melaksanakan agenda reformasi Parlimen untuk menambah baik cabang legislatif dalam pentadbiran negara menjadi keutamaan Wan Junaidi sejurus dilantik ke jawatan itu.

Institusi Parlimen dan Wan Junaidi seakan tidak dapat dipisahkan apabila figura hebat itu memulakan pelbagai usaha, termasuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 bagi membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih petugasnya dan mengawal perbelanjaannya, namun ia dimansuhkan pada 1992.

Wan Junaidi turut mencuri perhatian apabila mengingatkan jemaah menteri supaya menghormati institusi Parlimen, dengan hadir sendiri bagi menjawab soalan yang dikemukakan kepada kementerian yang diwakili.

Ini kerana menurut beliau, Dewan Negara harus dihormati dan kehadiran seseorang menteri sangat penting dalam menjelaskan sesuatu persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negara.

"Saya memperingatkan, kalau Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh datang, kedua-kedua Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof) boleh datang (ke sidang Dewan Negara), takkan menteri tak boleh datang?

"Takkanlah tempat ini rendah sangat untuk menteri datang. Ini dewan tertinggi Parlimen,” tegur beliau semasa satu sesi jawab lisan di Dewan Negara pada 11 Disember lepas.

Selain terlibat dalam urusan pentadbiran dan politik, Wan Junaidi juga merupakan seorang penulis berbakat yang telah menulis beberapa buah buku, antaranya berjudul ‘A Policeman’ dan ‘Evolusi Parlimen dan Speaker Parlimen Malaysia’.

Khidmat beliau yang bermula sebagai seorang wira Sang Saka Biru sewaktu negara masih diancam komunis satu ketika dahulu seterusnya berkembang dalam arena politik dan pentadbiran negara, kini mengorak ke depan sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak. - Bernama