Menteri berhenti perkara biasa

A
A
A

MENTERI dilantik, menteri dipecat dan menteri letak jawatan, sepatutnya semua itu perkara biasa tetapi di Malaysia perkara biasa boleh jadi aneh dan sensasi.

Lantik menteri adalah hak Perdana Menteri. Nasihat menteri letak jawatan hak beliau. Kalau menteri enggan, Perdana Menteri boleh pecat. Menteri pula ada hak letak jawatan secara sukarela.Lain halnya dengan kakitangan awam yang berjawatan tetap, mereka tidak boleh diberhentikan sesuka hati sampailah mereka bersara.

Kalau hendak diberhentikan atau dipecat pun perlu alasan yang kuat dan proses yang rapi.

Menteri bukan jawatan tetap, ia jawatan politik. Menteri boleh diberhentikan oleh Perdana Menteri pada bila-bila masa.

Perdana Menteri tidak pun perlu bagi alasan. Kalau diminta pun Perdana Menteri tidak tertakluk memberikannya apatah lagi kalau kesannya mengeruhkan lagi keadaan atau mengaibkan seseorang.

Menteri boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa dengan tidak perlu bagi notis dan berhenti serta-merta.

Di negara maju dan negara yang politiknya tidak stabil, bukan sahaja menteri yang dipecat atau letak jawatan, Perdana Menteri pun sering meletakkan jawatan.

Ada Perdana Menteri atau Presiden yang letak jawatan kerana hilang sokongan parti sendiri, kalah dalam undi di Parlimen atau melalui proses perbicaraan (impeachment) macam yang sedang berlaku ke atas Presiden Amerika, Donald Trump.

Artikel Berkaitan:

Itulah keistimewaan sistem demokrasi. Walaupun ia tidak sempurna tetapi berbanding dengan sistem komunis dan raja berkuasa mutlak ia jauh lebih baik.

Dalam sistem komunis, parti berkuasa mutlak. Parti dan kerajaan adalah sama. Semua urusan politik dan dasar pemerintahan ditentukan oleh biro politik parti. Kongres parti diadakan hanya sekali setahun.

Sistem komunis mula runtuh pada tahun 1989 dengan berakhirnya Kesatuan Soviet. Hari ini, hanya tinggal China, Vietnam, Laos dan Cuba yang masih amalkan sistem komunis.

Demikian juga dengan sistem raja berkuasa mutlak. Segala kuasa dan kekayaan negara di tangan raja atau keluarga mereka. Rakyat tiada kuasa dalam pemerintahan dan penentuan dasar.Seperti komunisme, sistem raja berkuasa mutlak juga semakin tidak berpengaruh. Hari ini, tinggal tidak sampai sepuluh buah iaitu Arab Saudi, Oman, Brunei, Eswatini (Swaziland), negara-negara dalam Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vatican.

Sistem beraja yang serasi dengan demokrasi dan mungkin kekal jika diamalkan dengan betul ialah Sistem Raja Berperlembagaan seperti Malaysia.Sistem Raja Berperlembagaan kita adalah antara dua yang paling unik di dunia dalam erti kata raja tertinggi iaitu Yang di-Pertuan Agong dilantik melalui pengundian Raja-raja Melayu.

Ada 23 buah negara Raja Berperlembagaan di mana raja ada kuasa dan peranan berbeza berbanding yang menjalankan adat istiadat semata-mata kepada yang hampir berkuasa mutlak dan tidak boleh disentuh macam di Thailand.Negara Raja Berperlembagaan terbaru yang menamatkan institusi raja dan berubah menjadi negara tanpa raja adalah Nepal iaitu pada tahun 2008.

Kejatuhan sistem beraja Nepal bermula pada 2001 apabila Putera Mahkota waktu itu, Dipendra, mengamuk dan membunuh sembilan ahli keluarganya termasuk Raja Birendra dan Permaisuri Aishwarya.

Jadi kita janganlah mensensasikan peletakan jawatan menteri kerana dalam sistem demokrasi, kepentingan negara dan rakyat jelata mengatasi kepentingan mana-mana individu.

Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan memberikan kita kuasa dan cara menukar ganti pemimpin dengan berhemah dan bertamadun.

Wallahuaklam.

Sistem Raja Berperlembagaan kita adalah antara dua yang paling unik di dunia dalam erti kata raja tertinggi iaitu Yang di-Pertuan Agong dilantik melalui pengundian Raja-raja Melayu."

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara