Jabatan Perikanan sahkan udang ternakan selamat dimakan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perikanan (DOF) hari ini mengesahkan kesemua udang ternakan di negara ini selamat untuk dimakan.

Unit Komunikasi Korporat Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, hasil persampelan yang dijalankan ke atas sampel udang dan ikan mendapati tiada bahan antibiotik terlarang yang dikesan.

Menurutnya, sebanyak 2,446 sampel udang dan ikan diambil bagi tempoh 2008 sehingga kini bagi tujuan pemantauan antibiotik chloramphenicol (CAP), Nitrofuran (NF) dan Nitroimidazole (NI) di peringkat ladang.

"Kesemua sampel ini dianalisa di makmal Biosekuriti Perikanan yang telah mendapat pensijilan ISO dan hasil analisa mendapati kesemua sampel udang kolam ternakan tempatan adalah tidak dikesan atau negatif antibiotik.

"Malah, pihak Singapore Food Agency (SFA) melalui kenyataan media telah memaklumkan udang yang diimport dari Malaysia tidak pernah dikesan mengandungi chloramphenicol (CAP), Nitrofuran (NF)," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan akhbar The Star bertajuk “Shrimp Danger” Farmers use illegal antibiotics to treat shrimp bertarikh 4 Januari 2020 yang akan menimbulkan taksiran yang negatif terhadap industri ternakan udang di Malaysia.

Difahamkan, setiap tahun, industri ternakan udang menghasilkan hampir 50,000 tan metrik yang menyumbang sebanyak 13 peratus kepada kuantiti pengeluaran akuakultur Malaysia dan industri ini melibatkan kira-kira 1,200 orang penternak udang, 40 hatcheri pembenihan udang dan 15 buah kilang pemprosesan yang menyumbang kira-kira RM1.3 bilion atau 45 peratus daripada jumlah eksport perikanan.

Menurut kenyataan itu, program Pemantauan Residu Dadah Akuakultur (ARMP) yang tertumpu kepada ladang-ladang yang berdaftar dengan DOF, ladang-ladang ternakan yang mengeksport ke negara EU (Kesatuan Eropah), juga wajib mempunyai sijil Fish Quality Certificate (FQC).

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, program berkenaan turut dijalankan juga terhadap ladang-ladang ternakan yang berskala komersial yang mempunyai pasaran eksport ke luar negara dan mempunyai sijil Malaysia Good Agricultural Practices (MyGAP).

"Selain itu, program Sanitary and Phytosanitary Akuakultur (SPS Akuakultur) turut dijalankan ke atas ladang-ladang yang berdaftar dengan DOF, ladang-ladang yang mempunyai sijil Malaysia Good Agricultural Practices (MyGAP), ladang-ladang yang mempunyai pasaran ke negara US serta negara-negara lain dan juga bagi pasaran domestik.

"Negara luar seperti Australia telah mengiktiraf peranan DOF untuk mengeluarkan Sijil Kesihatan Ikan termasuk hasilan ikan yang hendak dieksport ke Australia di mana setiap tahun sebanyak 9,100 tan metrik udang diimport dari Malaysia sama ada dalam bentuk hidup, sejuk segar dan sejuk beku, malah pihak SFA menjalankan pengambilan sampel rutin bagi memastikan konsainan dipantau dan mematuhi syarat import Singapura.

"Mulai tahun 2019, MOA melalui DOF sebagai kawalan untuk mengelakkan isu penggunaan antibiotik telah mengambil alih kuasa pengeluaran Sijil Tempasal (Certificate of Origin) terhadap hasil ladang akuakultur tempatan sahaja tidak termasuk sumber yang diimport. Setiap ladang yang membekalkan ikan dan hasilan ikan kepada pengeksport, didaftarkan dan diletakkan di bawah pemantauan jabatan sekurang-kurangnya dua kali setahun," kata kenyataan itu.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai sekatan eksport udang yang dikenakan oleh pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA), pihak DOF mengatakan ianya adalah tidak melibatkan keseluruhan eksport produk akuakultur negara.

Sebaliknya, ia hanya dikenakan kepada syarikat yang didapati positif daripada kesan antibiotik sahaja dan difahamkan syarikat berkenaan sudah tidak beroperasi.

"DOF juga mengesyaki terdapat elemen transhipment yang mengimport udang luar negara di luar pemantauan rasmi DOF dan mengeksport semula ke Amerika Syarikat.

"Apa pun, Prosedur Opeasi Standard (SOP) DOF sentiasa memastikan pemantauan dilaksanakan sebaik mungkin secara berterusan terhadap ladang ternakan yang berdaftar bagi mengenal pasti ladang-ladang yang tidak bertanggungjawab menggunakan antibiotik.

"Surat keterangan asal (COO) hanya dikeluarkan setelah DOF pasti dari mana sumber udang dari ladang yang mana (untuk mengelakkan isu transhipment dari berlaku). Sekiranya pihak yang tidak bertanggungjawab adalah dari kilang pemprosesan yang tiada ladang ternakan udang, perkara ini akan diambil tindakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH)," kata kenyataan itu.