Majlis Presiden PH tidak bincang rombakan Kabinet, kata Salahuddin

Gambar kanan: Salahuddin Ayub
Gambar kanan: Salahuddin Ayub
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada rombakan Kabinet dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) susulan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.

Anggota Majlis Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberitahu pemberita ketika diminta mengulas kemungkinan berlaku rombakan Kabinet dalam tempoh terdekat.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu turut menyifatkan keputusan merombak Jemaah Menteri itu adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, sebagai ketua kerajaan, Dr Mahathir juga seorang yang berpengalaman dan terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukan menteri dalam Kabinetnya.

"Segala kemungkinan (rombakan Kabinet) boleh berlaku namun dalam menentukan setiap menteri itu perlu dikekalkan atau digugurkan itu hak mutlak Dr Mahathir.

"Perkara ini tidak dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden Pakatan Harapan sebelum ini. Saya sendiri sebagai anggota Kepimpinan Tertinggi dalam Pakatan Harapan," katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya pulangkan jawatan ini kepada Perdana Menteri..'

'Dr Maszlee tak sedih, mahu tumpu Simpang Renggam'

Isu rombakan Kabinet kembali menjadi tumpuan rakyat beberapa hari ini susulan peletakan jawatan Maszlee selepas beliau mengemudi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selama 20 bulan.

Artikel Berkaitan:

Ada beberapa nama menteri dikatakan bakal digugurkan susulan beberapa isu berkaitan kementerian masing-masing yang menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan rakyat.

Muhammad Faiz Fadzil.
Muhammad Faiz Fadzil.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Salahuddin berkata, beliau menyerahkan keputusan itu kepada Perdana Menteri dan akan terus menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"Kita sebagai menteri berazam melakukan yang terbaik tetapi penilaian selama setahun setengah dalam Kabinet itu kita pulangkan kepada Perdana Menteri.

"Perdana Menteri yang mempunyai hak untuk menilai baik buruknya dengan apa yang kita diberikan. Apabila tamat tempoh penggal rakyat pula akan menentukan dan memberikan penilaian mereka.

"Itu bagi saya adalah proses yang biasa dan tidak ada perkara pelik dengan apa yang berlaku baru-baru ini (peletakan jawatan Maszlee sebagai menteri pendidikan)," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ganti tempat Maszlee, Saifuddin anggap spekulasi

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil pula berpandangan soal rombakan Kabinet perlu diserahkan kepada Majlis Presiden PH dan Perdana Menteri.

Faiz Fadzil yang merupakan Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) itu turut menyifatkan tindakan Maszlee adalah perkara biasa dalam pentadbiran kerana tiada krisis atau skandal yang berlaku dalam PH.

"Saya mendoakan selamat maju jaya kepada Maszlee dan percaya beliau akan terus berkhidmat kepada kerajaan untuk sama-sama membangunkan negara kerana sumbangan beliau selama ini cukup cemerlang," katanya.