Pembinaan jalan kekal Dabong - Jeli ikut jadual

'Bailey bridge' yang digunakan sementara oleh orang ramai di Jeli. - Foto JKR Kelantan.
'Bailey bridge' yang digunakan sementara oleh orang ramai di Jeli. - Foto JKR Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Pembinaan jalan kekal di Kilometer (KM) 73.85 Dabong - Jeli (FT066) berhampiran Kampung Kubur Datu, Jeli yang runtuh akibat banjir baru-baru ini berjalan mengikut jadual.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail berkata, projek tersebut kini di peringkat penentuan konsep reka bentuk oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) dan dijangka diperolehi dalam tempoh seminggu lagi.

IR MOHD SUHAILI
IR MOHD SUHAILI

Menurut beliau, pembinaan tersebut melibatkan penggantian sistem saliran jenis Corrugated Metal Pipe (CMP) yang rosak di kedalam tujuh meter kepada box culvert atau pembentung daripada konkrit.

“Kami ambil tempoh dua minggu untuk fasa reka bentuk yang dilaksanakan oleh CSFJ.

“Konsep melibatkan penggantian besi CMP kepada box culvert dan sedikit tertangguh kerana ujian tanah, tetapi sudah selesai dan dihantar ke CSFJ untuk dianalisis dari segi kesesuaian reka bentuk box culvert,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi JKR Kelantan Tahun 2023 di Hotel Perdana di sini pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Ir Mohd Suhaili (lima dari kiri) mengiringi Tuan Zainal Abidin (empat dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada kakitangan JKR yang cemerlang.
Ir Mohd Suhaili (lima dari kiri) mengiringi Tuan Zainal Abidin (empat dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada kakitangan JKR yang cemerlang.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ir Mohd Suhaili, pihaknya masih komited terhadap kerja-kerja pembinaan jalan kekal tersebut yang dijanjikan siap sebelum Aidilfitri.

“Sebelum ini, JKR berjaya melakasanakan inisiatif segera menghubungkan sementara penduduk kampung melalui pembinaan jambatan jambatan panel keluli bermodular atau bailey bridge yang siap sehari lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

“Setakat ini, kami juga masih komited untuk menyiapkan keseluruhan jalan kekal bernilai RM700,000 ini sebelum hari raya sebagai mana kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi,” kata beliau.

Pada 1 Januari lalu, tanah runtuh di laluan tersebut menyebabkan kira-kira 20,000 penduduk di beberapa kampung terputus hubungan.

Laluan utama menghubungkan Kuala Balah ke bandar Jeli itu digunakan untuk aktiviti persekolahan, kesihatan dan kegiatan seharian.