Jual barangan Orang Asli di bandar Kota Bharu

AZWAN
AZWAN
A
A
A

KOTA BHARU - Minat mendalam terhadap seni hiasan daripada alam semula jadi mendorong seorang lelaki mengusahakan perniagaan barangan berunsur tradisional kaum Orang Asli termasuk Red Indian di tengah-tengah bandar Kota Bharu di Pasar Siti Khadijah di sini.

Azwan Ab Rahman, 40, berkata, dia memulakan perniagaan itu sejak 2013 selepas pulang daripada melawat Texas, Amerika Syarikat bersama ibu angkatnya yang berasal dari negara itu.

Menurutnya, pada waktu itu, mereka melalui satu kawasan penempatan Orang Asli tersebut dan bermula dari situ, Azwan atau nama jolokannya Abu Antonio terus terjatuh hati terhadap barangan tradisional mereka seperti war bonnet, sumpit dan lembing.

Hiasan-hiasan yang menggunakan pelepah burung.
Hiasan-hiasan yang menggunakan pelepah burung.

“Saya mendapatkan barangan-barangan ini secara dalam talian dan ada juga yang dihasilkan sendiri seperti rantai kunci dan perhiasan dinding daripada buluh atau tempurung kelapa.

“Paling mahal dalam koleksi yang ada ialah war bonnet asli dari negara Ecuardo bernilai RM2,500 terdiri daripada ekor ayam belanda,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pasar itu pada Selasa.

Menurut lelaki yang berasal dari Geting, Tumpat itu, war bonnet ialah penutup kepala berhias bulu pelepah binatang dan dahulu dipakai oleh lelaki Red Indian dalam lazimnya ketika peperangan.

Ujar Azman, war bonnet juga dihasilkan dengan menggunakan bulu helang sebagai lambang keberanian dan kepahlawanan selain turut digunakan dalam upacara adat kaum itu.

Artikel Berkaitan:

“Ada juga war bonnet daripada pelepah burung unta atau angsa dan barangan seperti ini sangat sukar didapati serta kurang diminati.

“Saya sendiri sukar mendapatkan pelanggan atau perhatian daripada pembeli tempatan dan biasanya barangan ini dibeli oleh pelancong asing untuk digunakan sebagai perhiasan,” katanya.

Kedai menjual pelbagai hiasan Orang Asli di Pasar Siti Khadijah.
Kedai menjual pelbagai hiasan Orang Asli di Pasar Siti Khadijah.

Pun begitu, Azman yang masih bujang itu berkata, dia tetap akan terus berusaha untuk mempamerkan dan menjual barangan unik tersebut di lokasi strategik di pasar yang terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu.

“Saya mahu lebih ramai orang tahu dan menghargai barangan-barangan seni seperti ini.

“Sesetiap satu barangan ini terhasil dengan buatan tangan dan boleh pupus jika tidak dipelihara,” katanya.