Dua minggu tidur dalam bot akibat banjir

Aziz (berdiri, empat dari kiri) bersama sebahagian penduduk yang menerima sumbangan daripada OMIW.
Aziz (berdiri, empat dari kiri) bersama sebahagian penduduk yang menerima sumbangan daripada OMIW.
A
A
A

TUMPAT - Dua warga emas di Kampung Bendang Pak Yong lebih selesa tinggal di kediaman sendiri daripada berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun terpaksa tidur di dalam bot sepanjang bencana banjir.

Omar Awang Kechik, 80, dan rakan sekampungnya, Taib Awang Kechik, 82, sudah lali dengan situasi itu selepas lebih 40 tahun menghadapi musibah berkenaan.

Omar berkongsi pengalamannya yang tidur di dalam bot selama dua minggu ketika banjir besar melanda pada 2014.

Omar
Omar

"Bukan sahaja ketika bah besar itu malah setiap tahun saya akan tidur di dalam bot untuk menjaga rumah," katanya.

Menurut Omar, ketika ruang dalam rumahnya dilimpahi air sehingga 0.3 meter dan halamannya mencecah lebih 1 meter, dia hanya solat dan tidur di dalam bot.

"Saya lebih rela tidak meninggalkan rumah walaupun mangsa banjir yang berpindah ke PPS menerima wang bantuan," katanya.

Omar berkata demikian kepada pemberita selepas Penyampaian Bantuan Kepada Asnaf Mangsa Banjir oleh Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) di Kampung Derdap di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Taib pula mengakui bimbang meninggalkan rumahnya berikutan tiada individu yang dapat memantau kediamannya setiap hari kerana berpindah ke PPS.

Taib
Taib

Katanya, sepanjang menghadapi banjir Disember lalu, dia hanya menyusun tiga kerusi yang dilapik tilam nipis untuk tidur berikutan lantai rumah sudah digenangi air.

"Kerusi itu juga yang menjadi tempat saya solat dan berehat," katanya.

Omar dan Taib merupakan antara 30 penerima dari kampung berkenaan yang menerima bantuan daripada OMIW.

Sementara itu, Pengerusi OMIW, Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir memberitahu, pertubuhan itu menyampaikan keperluan dapur dan wang tunai kepada mangsa banjir dan asnaf di kawasan berkenaan.

Dalam pertemuan bersama penduduk itu, katanya, mereka turut mendengar rungutan mengenai masalah banjir.

"Kami turut berharap pihak berkaitan melakukan kajian dan menunaikan janji secepat mungkin serta mengetepikan politik.

"Lokasi ini sebenarnya berpotensi menjadi kawasan pelancongan dan jika dikomersialkan boleh berfungsi sebagai aset untuk tujuan itu," katanya.