Petani di Perak kerugian lebih RM287,000 akibat banjir, ribut

Mohd Zolkafly (dua dari kanan) menyampaikan bekalan sayuran percuma kepada pengunjung yang hadir sempena Hari Ladang Daerah Larut Matang Selama (LMS) dan Pelancaran Kempen Makan Sayur-sayuran peringkat negeri Perak di Pejabat Pertanian Daerah LMS dekat Taiping pada Selasa.
Mohd Zolkafly (dua dari kanan) menyampaikan bekalan sayuran percuma kepada pengunjung yang hadir sempena Hari Ladang Daerah Larut Matang Selama (LMS) dan Pelancaran Kempen Makan Sayur-sayuran peringkat negeri Perak di Pejabat Pertanian Daerah LMS dekat Taiping pada Selasa.
A
A
A

TAIPING - Petani di Perak merekodkan kerugian lebih RM287,000 akibat bencana ribut dan banjir yang melanda sejak Januari lalu.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, jumlah itu membabitkan kerosakan ladang pelbagai jenis komoditi pertanian dan tanaman padi seluas lebih 37 hektar.

Menurutnya, kesemua kerosakan dan kerugian tersebut telah dilaporkan kepada Jabatan Pertanian negeri bagi permohonan bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) serta Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

"Setakat Oktober, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian telah meluluskan 19 permohonan bantuan bencana melibatkan nilai lebih RM60,000.

"Ada antara permohonan ini telah pun selesai diserahkan kepada petani terlibat manakala sebahagiannya dalam proses pengedaran input," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ladang Daerah Larut Matang Selama (LMS) dan Pelancaran Kempen Makan Sayur-sayuran peringkat negeri Perak di Pejabat Pertanian Daerah LMS dekat sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Mohd Zolkafly berkata, berdasarkan rekod, banjir yang melanda di Hulu Perak, Hilir Perak, LMS, Kerian dan Perak Tengah telah mengakibatkan kemusnahan tanaman antaranya padi, jagung, tembikai, pisang dan serai.

Katanya, di sesetengah kawasan, kerosakan yang dialami akibat kemusnahan itu mencecah RM28,000 hingga RM184,000.

Artikel Berkaitan:

"Kita amat menggalakkan kepada petani-petani yang terlibat dengan bencana seperti ribut, banjir dan kemarau ini untuk segera maklumkan kepada Jabatan Pertanian.

"Langkah ini supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan seperti untuk padi, nilai bantuan di bawah TBTP boleh diberikan antara RM750 hingga RM1,800 per hektar dan untuk tanaman lain, 50 peratus daripada nilai kerosakan itu akan diberikan bantuan input pertanian," katanya.

Tahun lalu, lebih RM188,000 bantuan bencana diluluskan di bawah PPSPA dan TBTP membabitkan 21 permohonan.