Kebakaran rumah Koo Ham: Molotov cocktail disahkan mengandungi petrol

Mohd Yusri. Laporan Sinar Harian
Mohd Yusri. Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Bukti utama molotov cocktail yang ditemui dalam kes kebakaran kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, 10 Januari lalu disahkan memiliki bahan bakar berupa petrol.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan awal dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan bahan api itu digunakan sebagai bahan bakar.

"Maklumat berkaitan punca kebakaran ini telah diterima Khamis lalu, bagaimanapun surat laporan rasmi berhubung penemuan itu akan dihantar kepada polis dalam masa terdekat.

"Kes masih disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata, setakat ini, polis telah merakam keterangan 11 saksi dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek terlibat.

"Dalam perkara ini, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, hasil ujian makmal ke atas sampel yang diambil pihaknya didapati positif.

"Laporan makmal tersebut telah pun dihantar kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat susulan penemuan bahan letupan dipercayai molotov cocktail.

Susulan itu, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan di Shah Alam bagi membantu siasatan.

Lelaki yang direman selama enam hari itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dipanggil menjadi saksi sekiranya diperlukan dalam siasatan.

Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, pemimpin DAP tersebut bersama ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kebakaran hanya melibatkan kemusnahan sebuah kereta Mercedes Benz E300 dan kesan kepanasan kepada dua kenderaan lain iaitu jenis Honda CRV dan Toyota Hilux.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!