Reman suspek khianat rumah Koo Ham disambung sehari lagi

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohd Yusri
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Reman seorang lelaki berusia 30-an yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam kebakaran kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar, Manjung, Rabu lalu, disambung sehari lagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lanjutan reman itu dipohon bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan selepas tempoh reman tamat pada Selasa.

"Sambung satu hari lagi (Rabu)," katanya ringkas ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Media melaporkan lelaki itu ditahan pada Jumaat di Shah Alam, Selangor dan direman selama lima hari untuk disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api.

Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat susulan penemuan bahan letupan dipercayai 'molotov cocktail' yang menjadi punca kebakaran.

Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, Koo Ham yang juga penasihat DAP Perak bersama ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kebakaran hanya melibatkan kemusnahan sebuah kereta Mercedes Benz E300 dan kesan kepanasan kepada dua kenderaan lain iaitu jenis Honda CRV dan Toyota Hilux.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!