Syarikat China bakal wujudkan pusat R&D berkonsepkan hijau di Kedah

Leon Ma (kiri) memberikan penerangan operasi syarikat itu kepada Sanusi (dua, kanan) sambil disaksikan Haim Hilman (kanan) dan Wong Chia Zen (tiga, kanan) di Gejiu City, China, pada Khamis. Foto Ihsan UPDA
Leon Ma (kiri) memberikan penerangan operasi syarikat itu kepada Sanusi (dua, kanan) sambil disaksikan Haim Hilman (kanan) dan Wong Chia Zen (tiga, kanan) di Gejiu City, China, pada Khamis. Foto Ihsan UPDA
A
A
A

ALOR SETAR - Konsep mesra pelabur yang diamalkan oleh kerajaan negeri memberi impak besar dalam menarik pelaburan baharu ke Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini menyebabkan syarikat dari China, Greennovo Enviromental Technology Co. Ltd. menerusi syarikat kerjasamanya, Xin Sheng Environmental (M) Sdn. Bhd. berhasrat untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkonsepkan hijau di negeri ini.

Menurutnya, syarikat terbabit yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Padang Meha, Kulim, sedang mempertimbangkan Malaysia sebagai tapak untuk pusat tersebut.

“Saya mengalu-alukan hasrat tersebut, komitmen kita ialah untuk memudahcara sebarang urusan dalam setiap proses yang perlu dijalani oleh pelabur, termasuk Greennovo dan Xin Sheng,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Kedah pada Jumaat.

Sanusi berkata, meskipun tertakluk kepada prosedur dan peraturan sedia ada, kerajaan negeri menerusi agensinya seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengamalkan konsep mesra pelabur bagi mempermudahkan urusan selain menjimatkan masa dan kos pelabur.

“Ia dilakukan mengikut peraturan yang harus dipatuhi. Konsep mesra pelabur yang kita amalkan berjaya menarik pelaburan yang begitu tinggi ke Kedah sejak tiga tahun lalu, membolehkan negeri ini jauh melepasi sasaran pelaburan tahunan RM10 bilion, tiga tahun berturut-turut sejak 2021,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Greennovo, Leon Ma memaklumkan, syarikat itu juga berhasrat untuk mengembangkan lagi operasinya dengan membuka kilang memproses dan menukarkan serbuk zinc oxide kepada zinc ingot sebagai prospek masa hadapan.

Greennovo merupakan sebuah firma pengeluar produk berasaskan keluli daripada jenis zink dan mempunyai lebih 20 kilang di beberapa negara, antaranya Mesir, Vietnam, Laos dan Thailand.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia, Greennovo melalui syarikat kerjasamanya, Xin Sheng menjalankan aktiviti pengeluaran produk zinc oxide recovery di Kawasan Perindustrian Padang Meha, Kulim.

Delegasi pelaburan Kedah yang diketuai Sanusi mengadakan lawatan kerja ke Greennovo pada Khamis yang terletak di Gejiu City, Wilayah Yunnan, China.

Delegasi tersebut turut disertai dua anggota Exco Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah dan Wong Chia Zen, serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Datuk Elmi Yusoff dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Kedah, Sharifah Zakiah Syed Shahab.