Pesara kerajaan rugi lebih RM4.4 juta ditipu pelaburan mata wang kripto

Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian lebih RM4.4 juta akibat terpedaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud. - Gambar hiasan
Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian lebih RM4.4 juta akibat terpedaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM4.4 juta akibat terpedaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 60 tahun itu menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali dan telah memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan mata wang kripto yang berasal dari Singapura.

"Mangsa diarahkan untuk membuat pendaftaran di laman web yang diberikan dan dijanjikan pulangan sebanyak lima hingga 10 peratus daripada nilai modal namun tidak dinyatakan tempoh pelaburan tersebut.

"Terperdaya dengan tawaran tersebut, mangsa membuat 90 transaksi berjumlah RM4,417,092.80 secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank diberikan suspek bermula 18 Julai sehingga 6 September lalu.

"Namun begitu, mangsa gagal mengakses laman web berkenaan dan gagal menghubungi suspek, semalam,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Justeru, Amihizam berkata mangsa yang mengesyaki telah ditipu apabila tidak menerima sebarang keuntungan pelaburan membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!