Tarif air: Selangor akan umum langkah kurangkan beban rakyat

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan tarif air di Selangor yang bermula 1 Februari perlu dilakukan bagi memastikan modal dan pelan perniagaan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk jangka masa panjang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sesi yang lepas.

“Sebagaimana saya maklumkan di DUN sebelum ini, memang kenaikan tarif air perlu dari segi modal perniagaan Air Selangor untuk tahun-tahun tertentu.

“Semalam (Rabu), kerajaan negeri telah memanggil Air Selangor bagi menjelaskan kesan kenaikan air yang telah diluluskan oleh SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara),” katanya.

Menteri Besar ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Graduasi Sekolah Digital Selangor selepas menyerahkan sijil kepada 31 pelajar di sebuah hotel di Seksyen 7 di sini pada Khamis.

Menerusi Mekanisme Penetapan Tarif, SPAN pada Rabu mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Kenaikan yang disifatkan SPAN sebagai tidak lagi boleh ditangguhkan itu bertujuan agar tidak menjejaskan kemampanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang.

Tarif baharu air itu dijangka membabitkan kenaikan caj bil dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung langkah akan diambil kerajaan negeri mengurangkan beban rakyat negeri yang terkesan akibat kenaikan tersebut.

“Kita dapati 49 peratus pengguna di Selangor yang akan terkesan, saya juga akan memaklumkan beberapa langkah termasuk (meneruskan) Skim Air Darul Ehsan (SADE),” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kenaikan bil air yang akan dialami pengguna di Selangor setiap bulan, Amirudin menjangkakan antara RM1 hingga RM6 dengan bergantung kepada penggunaan air.