Mutu perkhidmatan operator air jadi ukuran

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

RATA-rata rakyat lagi masih gusar memikirkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang dilihat semakin meningkat, malah lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan pendapatan.

Kemudian, diikuti pula dengan pemakluman mengenai pelarasan tarif air yang akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelarasan itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Menurutnya, ia juga berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri namun Persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif berkenaan.

Berita itu pastinya menimbulkan kebimbangan masyarakat terutamanya dalam kalangan rakyat B40 kerana ia menyumbang kepada peningkatan kos perbelanjaan sama ada di bandar atau luar bandar.

Di samping itu, terdapat juga yang menuntut supaya kualiti perkhidmatan bekalan air dipertingkatkan bagi memastikan masalah kehilangan air dan tekanan air rendah tidak berlaku di beberapa kawasan.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, operator air di setiap negeri perlu memastikan mutu perkhidmatan dan sistem bekalan air bertambah baik, seiring dengan keputusan kerajaan Persekutuan membuat pelarasan tarif air berkuat kuasa 1 Februari ini.

Ujar beliau, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tegas, termasuk lesen ditarik, denda atau hukuman yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Fazil Ismail berkata, orang ramai tidak perlu khuatir sebaliknya lebih cekap dalam mengoptimumkan penggunaan air di kediaman masing-masing.

Menurut Mohd Fazil, bukan semua akan merasakan impak kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu itu kerana berdasarkan data diperoleh sekitar 47.8 peratus pengguna domestik merekodkan penggunaan kurang daripada 20 meter padu.

Justeru, sebagai pengguna yang akur dengan pelarasan tarif air itu, prestasi perkhidmatan bekalan air seluruh negara juga perlu dioptimumkan.

Ia kerana terdapat masalah bekalan dan kualiti air dalam negara masih berlaku setiap tahun, meskipun pengguna membayar bil air yang telah ditetapkan.

Apa yang pasti, mutu perkhidmatan operator air di setiap negeri akan menjadi kayu ukur oleh rakyat dalam negara ini. Operator air diingatkan supaya tidak culas dan memastikan semua pengguna mendapatkan bekalan air yang berkualiti setimpal dengan kadar bayaran yang ditetapkan.