Pertemuan hening, pilu bekas banduan PhD bersama Sultan Selangor

SHAH ALAM – Bekas banduan pertama di Malaysia yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman penjara, Dr Malik Yatam, menerima perkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut kenyataan Selangor Royal Office, pertemuan hampir sejam itu berlangsung dalam suasana hening, sedih dan pilu, selain menjadi pertemuan pertama seumpamanya antara baginda dengan seorang bekas banduan yang menerima pengampunan penuh daripada Sultan Selangor.
Kenyataan itu memaklumkan, Malik yang menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) selama 24 tahun tanpa tarikh pembebasan, dibebaskan pada 11 Disember 2024 selepas menerima pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan Baginda pada tahun yang sama.
“Beliau menjalani hukuman sejak 2001 ketika berusia 14 tahun dan tidak dijatuhkan hukuman mati kerana masih di bawah umur ketika kesalahan dilakukan,” jelas kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan sama, Malik yang kini berusia 39 tahun berjaya memperoleh PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan hasil usaha melanjutkan pelajaran semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang.
“Pada pertemuan itu, baginda berkenan bertanyakan perkembangan kehidupan Malik selepas dibebaskan serta perancangan masa hadapannya.
“Baginda turut menyatakan rasa terharu dengan perjalanan hidup Malik dan berpendapat beliau layak diberikan peluang kedua selepas mempertimbangkan semua faktor yang dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024.
“Sultan Sharafuddin turut menasihatkan Malik supaya sentiasa menjaga nama baik keluarga dan kekal bersemangat untuk memperbaiki taraf hidup pada masa depan,” jelas kenyataan itu.
Ringkasan AI
- SHAH ALAM – Bekas banduan pertama di Malaysia yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman penjara, Dr Malik Yatam, menerima perkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
- Pertemuan berlangsung dalam suasana hening, sedih dan pilu serta menjadi pertemuan pertama antara Sultan dengan seorang bekas banduan yang menerima pengampunan penuh
- Malik menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) selama 24 tahun dan dibebaskan pada 11 Disember 2024 setelah menerima pengampunan penuh
- Beliau menjalani hukuman sejak 2001 pada umur 14 tahun dan memperoleh PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan semasa di Penjara Kajang
- Sultan Sharafuddin berkenan bertanyakan perkembangan Malik pasca pembebasan dan menasihatkan beliau untuk menjaga nama baik keluarga serta bersemangat memperbaiki taraf hidup
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

