Pelarasan tarif air elak pengguna di Kelantan ekstrak air bawah tanah - Pakar

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pelarasan tarif air yang telus dan adil boleh mengurangkan kos perbelanjaan sebahagian rakyat Kelantan yang terpaksa melabur untuk mengekstrak air bawah tanah bagi kegunaan sendiri.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata, sekiranya kaedah mengekstrak air bawah tanah banyak dilakukan di negeri itu, ia akan menimbulkan masalah seperti penurunan paras air bawah tanah, pemendapan tanah, penggondolan hutan yang mengurangkan ketersediaan air mentah dan musibah banjir menjadi lebih teruk sehingga memusnahkan infrastruktur bekalan air.

Beliau berkata, pihaknya juga telah lama menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan pelarasan tarif air dengan menggunakan mekanisme yang telus dan adil untuk mengelakkan kos-kos tidak cekap disalurkan kepada pengguna.

"Situasi bekalan air semasa di Kelantan adalah hanya 73.9 peratus berbanding negeri lain di Semenanjung dan Labuan yang melebihi 90 peratus.

"Kelantan merupakan antara negeri paling lewat menstruktur semula industri air dan kekurangan suntikan modal berlarutan terlalu lama sehingga menyebabkan bekalan air dialami menjadi lebih teruk.

"Sebenarnya, jika kualiti dan perkhidmatan bekalan air bertambah baik dalam jangka masa panjang, rakyat Kelantan boleh kurangkan perbelanjaan mereka yang dilaburkan untuk mengekstrak air bawah tanah,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Piarapakaran berkata, pelarasan tarif bekalan air ini juga bertujuan meningkatkan lagi sumber kewangan bagi membantu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menambah baik perkhidmatan mereka supaya rakyat dapat menikmati bekalan air terawat secara berterusan.

"Selepas pelarasan tarif air, AKSB perlu memastikan kualiti dan perkhidmatan bekalan air bertambah baik, selain menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk maklumkan penambahbaikan yang rakyat Kelantan dapat rasai melalui pelarasan tarif ini dalam tempoh setahun dan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Jika rakyat Kelantan meragui kualiti dan perkhidmatan bekalan air diterima, mereka boleh segera mengadu kepada SPAN atau AKSB," katanya.

Semalam, SPAN mengumumkan bermula 1 Februari ini, pelarasan tarif air yang baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksanakan.

Pelarasan itu, yang menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif dengan struktur dan komponen tarif air diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung serta Labuan dan ia akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

Sementara itu, Felo Kanan Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Zulkifli Yusop berkata, Kerajaan Negeri Kelantan perlu mengurangkan kebergantungan dengan Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan kemudahan asas memandangkan keadaan kewangan negara pada masa ini.

"Dalam hal ini, pengguna kena sedar bahawa mereka perlu menghargai dan membayar kos untuk mendapat perkhidmatan yang baik.

"Pada masa sama, sumber air tanah perlu dirancang dan diurus dengan lebih cekap bagi memastikan kecukupan sumber untuk jangka masa panjang," katanya.

Jumlah akaun pengguna di Kelantan ialah 276,171 dengan 238,235 daripadanya adalah akaun domestik manakala selebihnya akaun komersial. - Bernama