Tarif air naik bantu industri berdaya maju - MWA

Bermula 1 Februari ini, pelarasan tarif air yang baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksana. Gambar hiasan
Bermula 1 Februari ini, pelarasan tarif air yang baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksana. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Semakan semula tarif air selaras dengan mekanisme penetapan iaitu pelarasan berkala untuk memastikan industri air berdaya maju dalam jangka masa panjang.

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Dr Ir Mohmad Asari Daud berkata, langkah berkenaan penting memandangkan kos merawat dan mengedarkan air semakin meningkat.

“Kos semakin meningkat ini disokong oleh data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia terutamanya beberapa penyedia perkhidmatan seperti Pengurusan Air Pahang yang tidak menyemak semula tarif air domestik mereka selama 40 tahun.

“MWA percaya bahawa semakan semula tarif air domestik akan memotivasikan penyedia perkhidmatan air untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelarasan itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Menurutnya, ia juga berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri namun Persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif berkenaan.

Ujar Mohmad, MWA menjangkakan peningkatan dalam sistem bekalan air dan bantuan kepada ekosistem yang menghadapi masalah ketara untuk beberapa waktu.

Artikel Berkaitan:

“Persatuan menyatakan sokongan terhadap tindakan SPAN yang menyemak semula tarif air untuk pelanggan domestik di Semenanjung Malaysia dan Labuan, berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024.

“Walaupun menghadapi tentangan daripada sektor tertentu, MWA memuji SPAN atas komitmen untuk membuat semakan kerana ia sangat diperlukan pada ketika ini,” ujarnya.