Kenaikan tarif air tidak dapat dielakkan - Akmal Nasrullah

Akmal (tengah) ketika Sesi Bersama Editor Media: Pelarasan Tarif Demi Meningkatkan Tahap Perkhidmatan Bekalan Air bertempat di Hotel Pulse Grande, Putrajaya pada Selasa.
Akmal (tengah) ketika Sesi Bersama Editor Media: Pelarasan Tarif Demi Meningkatkan Tahap Perkhidmatan Bekalan Air bertempat di Hotel Pulse Grande, Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak dapat dielakkan bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan dan memastikan bekalan yang berterusan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelarasan itu dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Menurutnya, kenaikan 22 sen yang ditetapkan itu adalah purata jumlah kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan.

“Pelarasan itu dijangka akan menyebabkan caj bil naik dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu (m³).

“Kenaikan tarif air bukan domestik termasuk komersial dan industri pula antara 40 sen hingga RM2.00 bagi 20m³ sebulan atau 1 sen hingga 7 sen sehari.

“Pelepasan surcaj tenaga ini akan turut terpakai bagi tarif perkhidmatan pembetungan bersambung. Surcaj tenaga akan dilepaskan kepada semua kategori pengguna melibatkan seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya ketika Sesi Bersama Editor Media: Pelarasan Tarif Demi Meningkatkan Tahap Perkhidmatan Bekalan Air bertempat di Hotel Pulse Grande, di sini pada Selasa.

Pelarasan tarif air bermula 1 Februari 2024
Pelarasan tarif air bermula 1 Februari 2024

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembetungan), Datuk Razali Mohamad; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago; Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Pengarah Kanan Bahagian Pelesenan dan Tarif SPAN, Izan Aziati Samsuri.

Artikel Berkaitan:

Akmal Nasrullah berkata, melalui pelarasan tarif bagi kategori domestik, operator air di setiap negeri masing-masing akan menjana pendapatan tambahan untuk membolehkan mereka menampung keperluan perbelanjaan operasi (opex) dan seterusnya melaksanakan pembangunan infrastruktur sistem bekalan air.

Jelasnya, kelestarian perkhidmatan bekalan air berkait rapat dengan keupayaan kewangan di peringkat operator air kerana dengan kewangan yang mencukupi, mereka berupaya melaksanakan obligasi terutamanya dalam menangani isu membekalkan air.

“Operator air dikehendaki untuk meningkatkan usaha masing-masing bagi menangani isu-isu semasa yang dihadapi dengan menggunakan pendapatan tambahan yang akan diperoleh.

“Beberapa contoh yang hendak saya kongsikan bersama, antaranya isu utama yang dihadapi oleh pembekal perkhidmatan bekalan air di negeri Kelantan adalah untuk mematuhi piawaian kualiti air minimum yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Melalui pelarasan tarif ini, pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bertanggungjawab untuk membuat perancangan yang teliti supaya mematuhi piawaian yang ditetapkan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Akmal berkata, isu tekanan air adalah antara masalah utama di negeri Kedah dan melalui rekod SPAN, rizab margin adalah kosong, yang mengakibatkan permintaan pembekalan air tidak dapat dipenuhi.

Keperluan pelarasan tarif air
Keperluan pelarasan tarif air

Justeru, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) perlu ada perancangan untuk meningkatkan rizab margin kepada 15 peratus, sebagaimana ditetapkan oleh SPAN dalam petunjuk prestasi utama (KPI) melalui pembinaan LRA baru dan menaiktaraf LRA sedia ada.

Di negeri lain juga katanya, operator air perlu membuat perancangan untuk menyelesaikan isu secara spesifik di negeri masing-masing seperti daripada aspek menangani isu pencemaran, respons dan penyelesaian aduan serta mengatasi isu gangguan bekalan air.

“Kerajaan Persekutuan melalui SPAN akan terus memantau prestasi operator air daripada segi pencapaian KPI dan pelaksanaan projek perbelanjaan modal yang dirancang bagi pembangunan infrastruktur sistem bekalan air.

“Sebagai hasil daripada ini, pengguna dijangka menerima manfaat melalui tahap perkhidmatan bekalan air yang lebih baik daripada operator masing-masing.

“Bagi meminimumkan impak peningkatan tersebut kepada pengguna khususnya kategori domestik, Kerajaan Negeri dan operator air masing-masing disaran untuk meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan subsidi atau rebat kepada pengguna yang kurang berkemampuan seperti golongan B40 atau golongan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih,” jelasnya.