[VIDEO] 'Saya bukan kanak-kanak, umur sudah 14 tahun'


Bentuk fizikal seakan-akan kanak-kanak menyebabkan Nur Ainul Darwisya Mohd Zulkfikri sering disalah anggap walaupun usianya sudah menginjak 14 tahun.

Penyakit buah pinggang yang dihidapinya sejak berusia 4 tahun itu menyebabkan kedua kaki anak sulung daripada tujuh beradik ini mengecil, serta tangan mulai membengkok dan lebih menyedihkan lagi wajahnya mengalami perubahan.

Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/644839/edisi/kelantan/saya-bukan-kanak-kanak-umur-sudah-14-tahun

Muzik: Bensound Sad Day

#SinarHarian #BeritaSemasa #remajabertubuhkanakkanak" />
A
A
A

TANAH MERAH - Bentuk fizikal seakan-akan kanak-kanak menyebabkan Nur Ainul Darwisya Mohd Zulkfikri sering disalah anggap walaupun usianya sudah menginjak 14 tahun.

Penyakit buah pinggang dihidapinya sejak berusia empat tahun itu menyebabkan kedua kaki anak sulung daripada tujuh beradik itu mengecil serta tangan mulai membengkok selain wajahnya turut mengalami perubahan.

Disebabkan itu, dia sering dianggap kanak-kanak oleh orang ramai sehingga menyebabkan Nur Ainul Darwisya sering diselubungi kesedihan setiap kali mengenang nasibnya.

"Saya sudah remaja bukan lagi kanak-kanak," demikian luah anak kepada pasangan Mohd Zulfikri Yahaya, 42, dan Nor Azizom Hanafi, 35, dari Kampung Batu Gajah di sini.

Perubahan Nur Ainul Darwisya dari usia empat hingga 14 tahun.
Perubahan Nur Ainul Darwisya dari usia empat hingga 14 tahun.

Menurut Mohd Zulfikri, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengubati penyakit anak gadisnya itu untuk memastikan Nur Ainul Darwisya boleh menjalani kehidupan seperti remaja lain.

Ujarnya, penyakit dihidapi Nur Ainul Darwisya menyebabkan dia tidak boleh mandi dengan sempurna selain turut menderita penyakit darah tinggi, tulang rapuh, jantung membengkak dan paru-paru bermasalah.

Mohd Zulfikri memberitahu, anak sulungnya itu sudah enam kali melalui pembedahan sebelum ini, namun kesihatannya semakin merosok dan sejak Jun lalu, dia mulai sukar untuk berjalan.

Artikel Berkaitan:

Zulfikri sentiasa menemani anak sulungnya sehingga sanggup berhenti kerja demi menjaganya.
Zulfikri sentiasa menemani anak sulungnya sehingga sanggup berhenti kerja demi menjaganya.

"Pada 28 Januari ini, merupakan ikhtiar kami sekali lagi dengan pertolongan seorang doktor dari klinik pakar swasta di Johor.

"Segala kos pembedahan akan ditanggung, namun yang menjadi masalah sekarang ialah saya memerlukan sekitar RM4,000 hingga RM7,000 bagi menyewa kereta, atau menaiki kenderaan awam serta penginapan di sana sekitar 10 hari atau lebih," katanya.

Mohd Zulfikri turut memberitahu, sudah hampir enam tahun beliau tidak bekerja kerana terpaksa berulang alik ke hospital yang merupakan rumah kedua buat Nur Ainul Darwisya sejak 10 tahun lalu.

Ujarnya, dalam tempoh itu, paling lama Nur Ainul Darwisya ditahan di hospital memakan masa tiga bulan setiap kali menerima rawatan.

"Oleh kerana sering meminta cuti, saya pilih untuk berhenti kerja kerana ini langkah terbaik, manakala isteri fokus kepada enam lagi anak yang berusia 11 hingga dua bulan," katanya.

Penyakit buah pinggang yang dihidapi Nur Ainul Darwisya sejak berusia empat tahun itu menyebabkan kedua kaki anak sulung daripada tujuh beradik ini mengecil, serta tangan mulai membengkok, selain wajahnya mengalami perubahan.
Penyakit buah pinggang yang dihidapi Nur Ainul Darwisya sejak berusia empat tahun itu menyebabkan kedua kaki anak sulung daripada tujuh beradik ini mengecil, serta tangan mulai membengkok, selain wajahnya mengalami perubahan.

Beliau berkata, keluarganya yang tinggal di rumah peninggalan orang tua kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan.

Keluarga itu turut menerima bantuan daripada Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) seperti Bantuan Tetap Bulanan (RM500), Bantuan Pemulihan Rumah Kediaman (RM15,000), Bantuan Rawatan Perubatan (RM3,000) dan Biasiswa Tengku Anis.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB 7051918536 atas nama Nor Azizom Hanafi.

Nur Ainul Darwisya (tiga dari kiri) bersama ibu bapa serta enam adiknya di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah.
Nur Ainul Darwisya (tiga dari kiri) bersama ibu bapa serta enam adiknya di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah.