Pembayar, penerima zakat PPZ-MAIWP dijangka terus meningkat tahun ini

Abdul Hakim Amir Osman
Abdul Hakim Amir Osman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Selangor (PPZ-MAIWP) optimis jumlah pembayar zakat akan terus meningkat seterusnya mencapai sasaran kutipan RM1 bilion tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, pembayar zakat setakat Ogos lalu adalah seramai 311,808 orang berbanding 308,259 orang pada Ogos tahun lepas.

Menurutnya, setakat 14 September lalu sebanyak RM584.5 juta telah dikutip dan kempen dipergiat bagi menarik lebih ramai pembayar cukup syarat menunaikan kewajipan.

"Dahulu bilangan asnaf sekitar 20,000 keluarga namun selepas pandemik Covid-19 jumlahnya meningkat 30,200 keluarga yang menerima bantuan secara bulanan.

"Kita bergantung hasil kutipan zakat supaya bantuan ini dapat disalurkan secara konsisten kepada penerima," katanya kepada Sinar Harian.

Berkongsi lanjut, pandemik Covid-19 telah menyebabkan ramai antara rakyat Malaysia terjejas termasuk beralih daripada T20 kepada B40.

"Saya ada terima kes permohonan bantuan zakat selepas suami meninggal dunia akibat sakit menyebabkan isteri yang tinggal di rumah tiga tingkat tiada sumber kewangan kerana tidak bekerja.

"Mulanya wanita ini datang ke Baitulmal mohon bantuan tapi tidak diterima kerana beranggapan kaya dan duduk di rumah banglo sedangkan rumah tersebut dibina sebelum kematian suami. Takkan selepas suami meninggal, dia mahu makan batu-batu (rumah) tersebut?" kongsi beliau.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kepayahan hidup merupakan dugaan buat mereka tetapi ujian juga buat umat Islam lain sama ada mengambil cakna atau tidak akan kesusahan orang sekeliling.

"Nabi sendiri pernah berkata kalau satu rumah makan dengan kenyang tetapi jiran kelaparan, kita juga bertanggungjawab dan berdosa.

"Saya harap semua kakitangan kerajaan dan swasta dapat memulakan potongan gaji melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) supaya wang tersebut dapat digunakan untuk pembangunan umat Islam.

"PPZ-MAIWP akan terus berusaha memberi kesedaran zakat secara berterusan dan dakwah ini tidak akan ditinggalkan," katanya.

Jelas beliau, walaupun telah beralih ke pasca pandemik, namun beliau melihat jumlah penerima zakat dijangka terus meningkat didorong keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup.

"Jika ikut trend akan meningkat sebab itu sama-sama kita doakan dan berharap kestabilan ekonomi kerana zakat ini bergantung kepada lima teras iaitu keutuhan politik, ekonomi, sosial, teknologi dan perundangan.

"Bagaimanapun usaha kerajaan menangani miskin tegar disambut baik. MAIWP sendiri mempunyai kerangka dan inisiatif membantu asnaf menambah pendapatan melalui program perniagaan makanan dan kemahiran bersesuaian," katanya.