Hari Peneroka 2024 bakal disambut meriah

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melakukan gimik sempena Majlis Pelancaran Felda FGV Fundraising Golf Tournament 2024 anjuran Yayasan Felda sempena Hari Peneroka 2024 di pekarangan Menara Felda pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melakukan gimik sempena Majlis Pelancaran Felda FGV Fundraising Golf Tournament 2024 anjuran Yayasan Felda sempena Hari Peneroka 2024 di pekarangan Menara Felda pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pelbagai manfaat dapat diperoleh jika pihak korporat, swasta atau usahawan menjadi rakan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi menjayakan Hari Peneroka Felda 2024 pada Julai akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, terdapat kitaran ekonomi tersendiri yang tidak ternilai dalam sistem Felda.

Menurutnya, Felda mempunyai pelbagai sektor antaranya peladangan, perkilangan dan perkhidmatan yang keseluruhannya mempunyai kitaran hasil bernilai RM10 bilion.

“Ini memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk bersama Felda dan mereka bertemu pelbagai pihak dari seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Felda FGV Fundraising Golf Tournament 2024 anjuran Yayasan Felda sempena Hari Peneroka 2024 di pekarangan Menara Felda pada Selasa.

Kejohanan golf amal itu dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Februari di Kelab Golf Seri Selangor, Damansara.

Turut hadir Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, Sulong Jamil Mohamed Sharif; Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor dan Timbalan Pengarah Besar (Operasi) Felda, Izham Mustaffa.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Ahmad Shabery berkata, pihaknya menganggarkan seramai 500,000 peneroka dan juga warga Felda yang berada di Lembah Klang serta seluruh negara akan hadir pada karnival selama tiga hari yang bakal berlangsung pada 12 hingga 14 Julai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang itu.

Pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang karnival berkenaan berlangsung termasuklah karnival bola sepak, sukan warisan, pameran dan jualan daripada 317 usahawan rancangan serta jualan rahmah agensi yang berkaitan dengan Felda.

Mengulas lanjut mengenai kejohanan golf yang diadakan, beliau berkata ia menjadi platform untuk mendapatkan sumbangan daripada penaja terutama syarikat-syarikat korporat dan juga mana-mana pihak yang berminat dalam membantu atau menjamin kelestarian Felda serta warga peneroka.

“Dengan penglibatan para penaja yang berpotensi ini, Yayasan Felda berharap dapat menjana sumber kewangan sebanyak RM3 juta bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang telah dirancang bagi sambutan Hari Peneroka Felda 2024.

“Saya mengalu-alukan penyertaan penaja memandangkan ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim selain dapat mewujudkan hubungan strategik antara para penaja dengan Felda, FGV dan anak-anak syarikat lainnya.

“Penerimaan terhadap penyertaan orang ramai, termasuk syarikat korporat, menunjukkan bahawa Felda membuka pintu kepada peluang kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya

Ahmad Shabery (tengah) bergambar bersama sebahagian hadiah yang ditawarkan pada Felda FGV Fundraising Golf Tournament 2024.
Ahmad Shabery (tengah) bergambar bersama sebahagian hadiah yang ditawarkan pada Felda FGV Fundraising Golf Tournament 2024.

Jelas Ahmad Shabery dengan kaedah ini, Felda dapat memperluaskan keterlibatan dan memperkukuhkan peranan mereka dalam pembangunan ekonomi serta sosial warga peneroka.

“Penyatuan hati warga Felda adalah kunci bagi kejayaan dan kekuatan kita dalam bekerjasama membantu pihak pengurusan Felda ke arah pemulihan Felda yang berterusan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!