Dewan bernilai RM2 juta bakal dibina di Bandar Sri Sendayan

Aminuddin (tiga dari kiri) bersama replika cek yang diserahkan Matrix Concepts kepada MBS.
Aminuddin (tiga dari kiri) bersama replika cek yang diserahkan Matrix Concepts kepada MBS.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah dewan komuniti yang bernilai kira-kira RM2 juta di tanah seluas 0.81 hektar akan dibina di kawasan Bandar Sri Sendayan di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dewan ini dijangka siap pada tahun 2026 dibina berhampiran Klinik Kesihatan Bandar Sri Sendayan sekali gus memenuhi keperluan aktiviti komuniti hampir 40 persatuan penduduk dengan populasi seramai 50,000 isi rumah di sekitar kawasan berkenaan.

"Pembinaan dewan komuniti ini akan diuruskan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

"Ia turut mendapat sokongan daripada pihak syarikat pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) menerusi penyaluran dana pembinaan," katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Pembinaan Dewan Komuniti di Bandar Sri Sendayan di sini pada Khamis.

Ujarnya, dewan komuniti ini adalah satu aset yang amat penting dalam membina kekuatan komuniti di sini.

"Ia bukan sekadar struktur fizikal, tetapi sebuah tempat yang akan menjadi pusat perjumpaan dan pembangunan bagi penduduk tempatan.

“Melalui pembinaan dewan komuniti, kita sedang membentuk satu platform untuk berinteraksi, berkongsi idea, dan bekerjasama untuk kebaikan bersama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, syarikat berkenaan turut menyalurkan sumbangan dana berjumlah RM1 juta bagi kerja pembinaan dewan komuniti tersebut sebagai satu tanggungjawab sosial korporat.

Artikel Berkaitan:

“Kumpulan Matrix Concepts menyalurkan dana sumbangan sebanyak RM500,000 pada tahun ini dan selebihnya iaitu RM500,000 akan disalurkan secara berfasa kepada pihak MBS bagi perlaksanaan projek pembinaan dewan komuniti pada tahun depan.

"Kemudahan dewan komuniti ini secara tidak langsung mendukung aspirasi Kumpulan Matrix Concepts untuk menjadikan kawasan Bandar Sri Sendayan sebagai sebuah hab komuniti bagi penduduk persekitarannya," katanya.