Cubaan edar rokok seludup bernilai lebih RM3.2 juta gagal

Mohd Asri (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas susulan penahanan lori dipandu seorang lelaki di di Kilometer 56.7 Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, 13 September lalu.
Mohd Asri (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas susulan penahanan lori dipandu seorang lelaki di di Kilometer 56.7 Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, 13 September lalu.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan mengedar 24,000 karton rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM3.2 juta susulan penahan sebuah lori di Kilometer 56.7 Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, 13 September lalu.

Pengarah Kastam Negeri Pahang, Mohd Asri Seman berkata, lori lapan tan jenis Nissan UD itu berjaya dikesan hasil maklumat diterima bahagian penguatkuasaan JKDM Pahang sebelum diekori dan ditahan di lokasi itu.

Menurutnya, ketika ditahan lori tersebut membawa muatan kotak mencurigakan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati ia merupakan rokok putih disyaki barang larangan import.

"Pemandu berusia dalam lingkungan 40-an bersama lori dan rokok dirampas dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang di sini untuk siasatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati nilai rokok sebanyak 4.8 juta batang itu dianggarkan RM384,000 manakala nilai cukainya RM3.2 juta.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan lebih RM3.6 juta," katanya pada sidang akhbar rampasan itu di sini pada Jumaat.

Mohd Asri menunjukkan gambar lori yang digunakan sindiket untuk membawa bekalan rokok seludup ke selatan tanah air.
Mohd Asri menunjukkan gambar lori yang digunakan sindiket untuk membawa bekalan rokok seludup ke selatan tanah air.

Mohd Asri berkata, rokok-rokok itu dipercayai dibawa dari pantai timur dan untuk diedarkan ke pasaran negeri selatan tanah air.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapati sindiket ini menggunakan lori bertutup kanvas untuk membawa rokok tersebut menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebelum memasuki Jalan Kuantan-Segamat.

"Kegiatan itu juga didapati bergerak aktif pada waktu siang (waktu puncak) bagi mengelabui mata pihak berkuasa," jelasnya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

"Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat berdepan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

Menurutnya, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Pihak JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan," ujarnya.