Pramugara antara dua maut di hotel mewah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NEW DELHI -  Seorang kru syarikat penerbangan Lufthansa dan seorang lagi tetamu warga asing maut susulan kemalangan di sebuah hotel mewah di India, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan media India pada Sabtu.

Laporan berkenaan membayangkan kedua-dua lelaki itu berkemungkinan mengalami kejutan elektrik ketika sedang berenang di kolam renang hotel terbabit.

Siasatan polis mengenai punca sebenar kemalangan dilaporkan masih berjalan.

Syarikat penerbangan Jerman itu mengesahkan seorang pramugara maut dalam kemalangan pada Jumaat ketika transit di Bengaluru.

Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Frankfurt itu enggan mendedahkan butiran mengenai keadaan nahas atau identiti si mati atas faktor privasi pihak yang terkesan.

"Ucapan takziah ditujukan kepada keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan mendiang kru kami," kata Lufthansa.

Penyiar India, NDTV melaporkan kejadian itu berlaku apabila kedua-dua mangsa berenang di kolam renang di tingkat tiga hotel berkenaan.

Menurut laporan media, pekerja Lufthansa yang maut merupakan warga negara Jerman, manakala mangsa kedua berasal dari Slovakia.

Semasa cubaan menyelamatkan kedua-dua lelaki itu, seorang lagi tetamu hotel dari Amerika Syarikat dan seorang pekerja kolam renang warga India cedera.

Artikel Berkaitan:

Kedua-duanya menerima rawatan di hospital pada peringkat awal namun kini dilaporkan berada di luar bahaya.

Laporan turut menyebut kolam renang berkenaan ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Pihak hotel telah berjanji untuk memberi kerjasama penuh dalam siasatan.

Bengaluru, sebuah bandar raya dengan jutaan penduduk, dikenali sebagai "Lembah Silikon India" berikutan banyaknya syarikat teknologi maklumat (IT) yang beroperasi di sana.- Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!