SPRM bongkar penipuan pembekalan beras bernilai RM100 juta

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan penipuan sebuah syarikat pembekalan beras di Kedah yang menyebabkan kepincangan pengedaran dan penjualan bahan makanan ruji negara itu.

Menurut sumber, syarikat terbabit telah mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri bernilai lebih RM100 juta setahun, sejak kira-kira tujuh tahun lalu bagi pembekalan beras di Semenanjung Malaysia.

Sumber berkata, berdasarkan kontrak yang diberikan itu, syarikat terbabit telah membuat pinjaman bank kira-kira RM30 juta sebagai pembiayaan projek tersebut beberapa tahun lalu.

"Pengarah syarikat tersebut telah berpakat dengan seorang ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan negeri bagi mengesahkan pembelian dan penghantaran sebanyak 28,000 tan beras setahun yang dianggarkan bernilai lebih RM100 juta.

"Meskipun begitu, pembekalan beras tersebut tidak dibuat oleh syarikat yang diberikan kontrak tersebut.

"Malah syarikat terbabit dipercayai telah menerima amaun kira-kira RM30 juta menerusi beberapa transaksi," katanya pada Isnin.

Menurut sumber, suspek terbabit juga dikatakan telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu kepada pihak bank untuk proses permohonan pembiayaan pinjaman.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan berkaitan siasatan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: