'Adakah MB dah dapat perkenan Tuanku Muhriz tarikh sidang DUN akan datang?' - Arul Kumar

Arul Kumar
Arul Kumar
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim perlu menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi mendapatkan perkenan baginda berhubung tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang masih belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung persidangan yang dijadualkan berlangsung pada 26 November depan termasuk pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan pada 27 November.

"Biasanya tarikh persidangan itu akan ditentukan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan selepas itu perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Besar.

"Jadi, adakah tarikh persidangan DUN yang Menteri Besar maklumkan kepada media dijadualkan pada 26 November dan pembentangan belanjawan pada 27 November itu sudah mendapat perkenan daripada Tuanku atau tidak?," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, timbul desas-desus yang Ismail akan menghadap Tuanku Muhriz minggu ini, namun beliau menafikan dakwaan terbabit.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai itu berkata, sekiranya tarikh tersebut telah mendapat perkenan baginda, semestinya setiap ADUN sudah dimaklumkan.

Ujarnya, ia bagi membolehkan mereka membuat persediaan untuk mengemukakan soalan lisan dan bertulis yang akan dibentangkan dalam persidangan terbabit.

Tambahnya, seperti persidangan DUN yang dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober lalu, tarikhnya telah dimaklumkan kepada ADUN kira-kira dua bulan lebih awal.

"Kita menerima notis persidangan DUN pada 16 Oktober itu sejak Ogos lagi. Sebab itulah, pada tarikh berkenaan, kami ADUN pembangkang tetap hadir ke bangunan DUN kerana tidak menerima sebarang notis penangguhan.

Artikel Berkaitan:

"Hanya kira-kira jam 2.30 petang, saya melihat dalam portal E-Dewan bahawa persidangan itu ditangguhkan sebelum menerima surat melalui WhatsApp berhubung penangguhan berkenaan sekitar jam 3.50 petang," katanya.

Ujarnya, sekiranya persidangan DUN pada 26 November depan diteruskan seperti yang dimaklumkan Menteri Besar, notis rasmi perlu disampaikan kepada semua ADUN dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata, ia bukan mesyuarat biasa yang boleh dibuat sesuka hati, tetapi sidang DUN yang akan diteruskan dengan pembentangan Belanjawan 2027.

"Walaupun kita sudah menghantar soalan untuk tarikh persidangan DUN pada 16 Oktober lalu, tapi ia tidak boleh secara automatik terpakai untuk persidangan akan datang dan hak ADUN untuk kemukakan soalan baharu.

"Saya sendiri hanya tahu tarikh persidangan November ini hanya melalui laporan media. Kalau tak dapat notis rasmi, kami memang tidak akan pergi," katanya

Menurut beliau, persidangan berkenaan penting kerana ia disusuli dengan pembentangan belanjawan tahun hadapan.

Ujarnya, sekiranya tidak dilaksanakan, ia akan menjejaskan pentadbiran negeri sekaligus menunjukkan kerajaan negeri tidak boleh berfungsi dengan baik.

"Pembentangan belanjawan tidak boleh diketepikan kerana ia perlu dibentangkan dan diluluskan dalam DUN.

"Kalau persidangan tidak dapat diadakan, timbul persoalan bagaimana urusan perbelanjaan dan operasi kerajaan negeri bagi tahun depan akan dilaksanakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!