Ismail Lasim tidak menghadap Tuanku Muhriz hari ini

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tidak menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap pada Khamis.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Mohd Fasha Musthafa kepada Sinar Harian menerusi Whatsapp.
"Hari ini Menteri Besar tidak pergi menghadap. Bertugas macam biasa," katanya ringkas.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan timbul desas-desus mengenai kemungkinan Ismail akan menghadap Tuanku Muhriz.
Ia berikutan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan dijadualkan berlangsung hujung bulan depan dan penting untuk beliau menghadap Tuanku Muhriz bagi mendapat perkenan tarikh sidang DUN terbabit.
Mengikut kebiasaan, seorang Menteri Besar juga perlu menghadap Yang di-Pertuan Besar untuk menyembah maklum, memberi taklimat dan mendapatkan pandangan serta perkenan awal berhubung intipati dan hala tuju belanjawan yang akan dibentangkan.
Namun, timbul persoalan adakah Tuanku Muhriz perkenan menerima Ismail menghadap baginda susulan tindakan beliau menandatangani proklamasi pemecatan baginda sebelum ini.
Sebelum ini, tular video yang memaparkan Tuanku Muhriz menegur Ismail secara terbuka ketika baginda berangkat menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah.
Menerusi beberapa video yang dimuat naik di media sosial, Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan individu bahawa Ismail menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan memaklumkan bahawa baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Baginda kemudian mempersoalkan tujuan Ismail mahu menghadapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

