Ismail Lasim akan menghadap Tuanku Muhriz?

Kenderaan dinaiki Tuanku Muhriz dilihat tiba di Istana Hinggap.
Kenderaan dinaiki Tuanku Muhriz dilihat tiba di Istana Hinggap.
A
A
A

SEREMBAN – Desas-desus mengenai kemungkinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kembali timbul menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan belanjawan negeri yang dijadualkan berlangsung hujung bulan depan.

Sesi menghadap itu dikatakan bertujuan menyembah maklum serta memberi taklimat kepada baginda mengenai intipati dan hala tuju belanjawan yang dijadual dibentangkan Ismail pada 27 November ini, selain mendapatkan pandangan dan perkenan awal baginda.

Ismail didakwa akan menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini pada Khamis.

Beberapa pengamal media dilihat berkumpul di luar istana sejak jam 10 pagi bagi mengikuti perkembangan berkenaan.

Bagaimanapun, sehingga jam 11.30 pagi, kenderaan yang membawa Ismail masih belum kelihatan.

Sebelum itu, kenderaan yang membawa Tuanku Muhriz dilihat memasuki pekarangan istana pada jam 10.50 pagi.

Difahamkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim turut dijangka menghadap Tuanku Muhriz, namun tujuan pertemuan berkenaan belum dapat dipastikan.

Perkembangan itu berlaku ketika krisis adat dan istana Negeri Sembilan terus menjadi perhatian susulan pertikaian berkaitan kedudukan institusi diraja dan pentadbiran negeri.

Selasa lalu, media melaporkan Ismail menafikan dakwaan bahawa beliau merancang untuk menghadap Tuanku Muhriz pada minggu ini.

Artikel Berkaitan:

“Dari mana kamu dengar perkara itu? Buat masa ini, tiada perancangan untuk berbuat demikian,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Ampangan di sini.

Sebelum ini, tular video yang memaparkan Tuanku Muhriz menegur Ismail secara terbuka ketika baginda berangkat menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah.

Menerusi beberapa video yang dimuat naik di media sosial, Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan individu bahawa Ismail menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan memaklumkan bahawa baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Baginda kemudian mempersoalkan tujuan Ismail mahu menghadapnya.

“Kenapa dia mahu jumpa saya? Selagi dia tidak menarik balik apa yang dikatakannya sebelum ini, pergi,” titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!