Polis Pahang rampas dadah bernilai RM2.2 juta

Yahaya
Yahaya
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang melalui Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2.2 juta dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, rampas paling tinggi membabitkan ganja sebanyak 38,772.29 gram, diikuti pil Yaba 36,517 biji dan heroin 10,996.99 gram.

"Seterusnya adalah dadah, syabu (4,946.16 gram), ketamin (166.25 gram), eramin pula sebanyak 1,853 biji, pil ecstasy (257 biji) dan pil psikotropik berjumlah 70 biji.

"Selain itu, kita juga merampas, air ketum sebanyak 36,006.40 liter, daun ketum (882.82 gram), kodien 41.49 liter), dua batang pokok ganja, serbuk ecstacy (123 gram) dan pil nitrazelam (226 biji)," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di bilik media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini pada Selasa.

Beliau menjelaskan sepanjang tempoh ini, pihak JSJN membuatkan sitaan sebanyak RM2.3 juta membabitkan wang tunai, kenderaan seperti motosikal dan kereta barang kemas serta wang dalam akaun bank.

Yahaya menambah, pihaknya memandang serius terhadap isu dadah dan pelbagai usaha dilakukan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah di seluruh negeri ini.

Justeru, katanya dalam tempoh sembilan bulan, sebanyak 10,882 tangkap dibuat membabitkan 9,833 kes.

"Kedua-dua tangkapan dan kes ini melibatkan empat kategori iaitu bekalan, memiliki, permintaan dan pencegahan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Yahaya memberitahu sebanyak 861 individu ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian dalam tempoh Januari hingga 5 Oktober lalu.

Katanya, mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 56 tahun dan beberapa barang kes telah dirampas dalam serbuan terbabit.

"Kita telah merampas 136 unit tablet pelbagai jenama, (213) unit telefon bimbit pelbagai jenama (11) unit laptop dan dua unit PC, (38) unit router 32 unit modem dan wang tunai berjumlah RM226,348," katanya.

Bagi tujuan pencegahan, Yahaya menegaskan tindakan tegas dengan membuat permohonan pemotongan bekalan elektrik ke atas premis yang dijadikan pusat aktiviti perjudian telah dilakukan.

Ujarnya, daripada jumlah 58 permohonan yang telah dibuat kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebanyak 51 premis telah di potong.

"Sementara 16 permohonan pembatalan permit perniagaan ke atas premis yang didapati menjalankan perniagaan telah dibuat tetapi sehingga kini Pihak Berkuasa Tempatan masih belum membatalkan.

"Kita juga mengenal pasti sembilan laman web yang didapati menganjurkan aktiviti perjudian dan permohonan sekatan telah dibuat kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya.

Selain itu juga, pihaknya telah mengambil tindakan di bawah Akta Anti Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) ke atas satu sindiket yang terlibat menjalankan aktiviti perjudian Judi Online dan Loteri Awam Haram.

"Sebanyak tiga serbuan dan tangkapan ke atas perjudian Judi Online (JOL) dan 65 serbuan dan tangkapan ke atas perjudian Loteri Awam Haram (ENE) telah dibuat," katanya.