Hadiahkan lambang 'hakim' kepada abang bawa padah

Ahmad Sukarno (tengah) menunjukkan lambang hakim yang dicabut daripada sebuah kenderaan rasmi milik seorang Hakim Mahkamah Persekutuan oleh dua orang pelajar dalam satu kejadian baru-baru ini. FOTO: SINAR HARIAN/HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Sukarno (tengah) menunjukkan lambang hakim yang dicabut daripada sebuah kenderaan rasmi milik seorang Hakim Mahkamah Persekutuan oleh dua orang pelajar dalam satu kejadian baru-baru ini. FOTO: SINAR HARIAN/HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Niat mahu memberi hadiah kepada abangnya berupa lambang atau logo hakim yang dicabut daripada sebuah kereta menyebabkan suspek bersama saudara kandung ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dua beradik berusia 15 tahun itu ditahan pada 8 Januari jam 8.15 malam setelah seorang daripadanya mencabut lambang bertulis 'hakim' serta bertindak mencalarkan kenderaan milik kerajaan jam 7.30 petang.

Beliau berkata, si adik yang lahir pada bulan Disember telah bertindak mencabut lambang terdapat pada kenderaan milik seorang Hakim Mahkamah Persekutuan bagi diberikan kepada abangnya yang lahir pada bulan Mac tahun sama.

Ahmad Sukarno dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Sukarno dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Hasil siasatan dijalankan, si adik didapati bersalah mencabut lambang tertera perkataan 'hakim' bagi diberikan kepada abangnya sebagai hadiah.

"Malah kedua-duanya juga dipercayai bertindak menggores dan mencalarkan kenderaan rasmi milik Hakim Mahkamah Persekutuan itu menggunakan batu.

"Kedua-duanya telah ditahan di Batu Caves dan pihak polis turut merampas lambang atau logo tertulis 'hakim' daripada mereka," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Ahmad Sukarno berkata, kedua-dua pelajar Tingkatan Tiga itu mengaku bersalah sengaja menggores kenderaan rasmi milik hakim tersebut ketika pulang daripada bermain bola sepak.

Artikel Berkaitan:

Ekoran perbuatan khianat itu, kata beliau, kedua-duanya ditahan polis bagi membantu siasatan, namun tidak ditahan reman.

Mengulas kejadian tersebut, katanya, ia berlaku semasa kereta tersebut diparkir di tepi jalan di Taman Koperasi Polis Fasa Dua, dekat sini.

Kata beliau, pemandu kepada hakim tersebut telah menyedari perbuatan khianat tersebut apabila ingin membawa pulang hakim selepas selesai menunaikan solat Isyak.