Rasuah: Bekas hakim dipenjara sehari, denda RM12,000

Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada Rabu mengurangkan hukuman seorang bekas hakim yang dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 enam tahun lalu kepada jel sehari dan denda RM12,000.
Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada Rabu mengurangkan hukuman seorang bekas hakim yang dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 enam tahun lalu kepada jel sehari dan denda RM12,000.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengurangkan hukuman seorang bekas hakim yang dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana didapati bersalah atas kes rasuah enam tahun lalu kepada jel sehari dan denda RM12,000.

Mahkamah Tinggi di sini membenarkan rayuan bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Azmil Muntapha Abas, 50, untuk mengetepikan hukuman yang diputuskan Mahkamah Sesyen, pada 19 Oktober 2022, namun dia gagal mengetepikan sabitan bersalah berhubung kes tersebut.

Menerusi alasan penghakiman yang dikeluarkan Hakim, Hasbullah Adam pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi mendapati tidak wujud alasan yang bermerit untuk menggugat keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, berhubung sabitan kesalahan menurut Seksyen 316 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, sabitan bersalah bekas hakim atas kesalahan rasuah tersebut adalah selamat, maka mahkamah ini memutuskan bahawa rayuan Azmil Muntapha selaku perayu, ditolak.

"Bagaimanapun, mahkamah ini membenarkan rayuan perayu atas hukuman, dengan mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 dengan menggantikannya kepada pemenjaraan sehari dan denda sebanyak RM12,000.00 (gagal bayar tiga bulan penjara)," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pembuktian setiap elemen pertuduhan, Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta untuk memutuskan bahawa wujud kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Menurutnya, adalah jelas bahawa bagi kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika dibuktikan bahawa perayu telah memperoleh apa-apa benda berharga tanpa balasan, maka dia hendaklah dianggap telah berbuat demikian, melainkan dibuktikan sebaliknya.

Katanya, alasan penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen mendapati bahawa, dua individu telah memainkan peranan yang aktif dalam mempengaruhi perayu untuk menerima suapan.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, mahkamah ini mendapati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah membuat tindakan yang betul setelah mendapati tiada kes prima

facie ke atas perayu bagi pertuduhan utama kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

"Bagaimanapun, mahkamah mendapati wujud kes prima facie bagi pertuduhan pilihan dan dipanggil membela diri bagi pertuduhan pilihan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

"Hujahan pihak perayu bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta adalah tidak bermerit," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Hakim Mahkamah Sesyen telah memperoleh untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai sebanyak RM5,000 tanpa suatu balasan pada 8.22 malam, yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes-kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

Enam OKT tersebut adalah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing telah melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan di mana Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.

Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, dekat sini pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.