Proses, edar ketum: Enam anggota polis ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh lelaki termasuk enam anggota polis ditahan di sekitar ibu negara minggu lalu, untuk siasatan kes edar dan proses ketum.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, empat anggota polis berusia 24 hingga 38 tahun ditahan Cawangan Risikan/Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira jam 2.15 pagi, 4 Januari di sebuah kediaman di Jalan Puchong, di sini.

Amihizam
Amihizam

Menurutnya, rampasan dibuat membabitkan kira-kira 18 kilogram daun ketum dan 13.5 liter air ketum, peralatan proses daun ketum, lima uniform polis dan wang tunai RM1,200.

"Susulan tangkapan itu, keesokannya sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di sekitar Jalan Klang Lama dan merampas air ketum kira-kira 10.5 liter," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua suspek direman mulai 4 hingga 6 Januari untuk siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Katanya, empat anggota polis terbabit juga akan dikenakan tindakan tahan kerja.

Mengulas lanjut, kata Amihizam, pihaknya turut menahan dua lagi anggota polis berusia 31 dan 51 tahun di kawasan IPD Brickfields untuk membantu siasatan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"BSJN IPD Brickfields masih lagi menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenal pasti ahli-ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan yang diperoleh," ujarnya.

Tambahnya, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan rampasan dadah ini bolehlah menyalurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.