Pemuda PN akan buat laporan polis, kekang fitnah - Ahmad Fadhli

Fadhli (Laporan Sinar Harian pada Rabu.)
Fadhli (Laporan Sinar Harian pada Rabu.)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan membuat laporan polis bagi mengekang fitnah yang didakwa cuba diwujudkan oleh Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham terhadap Pas dan Bersatu susulan berlaku insiden kebakaran di kediamannya.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia disebabkan pemimpin DAP itu cuba mengapi-apikan parti berkenaan.

Menurutnya, ia sebagai langkah untuk mengawal Koo Ham daripada mengulangi tindakan jahat tersebut.

“Kami mengucapkan takziah kepada beliau atas insiden yang tidak diingini ini, namun ia bukan tiket baginya untuk membuat satu tuduhan tidak berasas.

“Beliau tidak perlu mendahului pihak berkuasa dalam mengenal pasti punca kebakaran dan individu yang bertanggungjawab terhadap kemalangan ini, jika benar ia merupakan satu bentuk serangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada Rabu, media melaporkan, Koo Ham percaya perbuatan khianat membakar kediaman di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar berpunca daripada cadangan pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Beliau percaya pelaku terbabit tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Sementara itu, Fadhli turut meminta Koo Ham membiarkan dan memberikan kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan dengan bebas.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, Pemuda PN amat menyokong tindakan undang-undang terhadap pelaku terbabit sekiranya bukti mencukupi dikenalpasti.

“Kenyataan beliau kali ini seolah-olah membutakan mata terhadap kesalahan lalu beliau, apabila beliau berkali-kali menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Tidak cukupkah dengan kenyataan biadab sebelum ini sehinggakan ditambah sekali lagi dengan persepsi jahat sebegini?” soalnya.

Selain itu, Fadhli menegaskan supaya Koo Ham tidak perlu berlagak suci kononnya telah memaafkan kesalahan orang lain walhal melemparkan sebuah tuduhan dan fitnah terhadap pihak pembangkang atau individu yang mengkritik.

“Beliau sekali lagi cuba mewujudkan isu ketegangan agama dan kaum dengan cuba mengheret insiden yang berlaku di rumah beliau dengan cerita yang tidak berpandukan bukti,” ujarnya.