Pemuda Amanah, Muda kutuk serangan terhadap seteru politik

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil dari kiri: Danial, Amira Aisya
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil dari kiri: Danial, Amira Aisya
A
A
A

PETALING JAYA - Pemuda Amanah mengutuk tindakan keganasan yang dilakukan terhadap mana-mana seteru politik.

Timbalannya Ketua Pemudanya, Danial Al Rashid Harun berkata, serangan yang mengancam nyawa dan harta benda tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.

“Saya menyeru segenap lapisan masyarakat harus menunjukkan sikap hormat dan toleransi.

“Kita tidak boleh membenarkan perbezaan pendapat membawa kepada tindakan keganasan atau ancaman,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan khianat ke atas kediaman Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Ko Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung, diserang menggunakan bahan letupan, 'molotov cocktail'.

Kejadian itu turut mengakibatkan sebuah kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus, manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Jelas Danial, pada masa sama, semua pemimpin dan individu yang berada dalam ruang awam diingatkan agar bertanggungjawab dengan setiap perkataan dan tindakan dilakukan yang boleh mencetuskan provokasi terhadap masyarakat.

“Kami berharap kejadian ini menjadi titik tolak untuk menyedarkan semua pihak akan kepentingan mengekalkan keamanan dan kesopanan dalam berpolitik serta berinteraksi dalam masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz turut menzahirkan rasa kecewa dengan sikap politik hooliganism dengan insiden khianat kebakaran di kediaman Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu.

“Ini merupakan satu jenayah yang serius, membabitkan nyawa semua mangsa dan merupakan satu langkah mundur ke belakang dalam politik negara.

“Saya benar-benar memahami bahawa arena politik ini jika tidak diamalkan dengan sederhana akan menjerumuskan ke budaya ekstremis dan hooliganism. Malah, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, budaya ini memang semakin menular,” katanya

Ujar beliau, beberapa siri ceramah Muda yang dibuat di Parlimen Muar juga pernah dicemari dengan gangguan dari kumpulan berbaju hitam dan bermotosikal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!