Polis Kelantan: Dadah, warga asing tumpuan risikan 2024

ASWANY OMAR

Muhamad Zaki (kanan) bersama Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Senior Asisten Komisioner, Sheik Azhar Sheik Omar menunjukkan pelan lokasi operasi di sebahagian sempadan selepas Mesyuarat Bersama Agensi Penguatkuasa Sempadan di Markas Taktikal PGA di Lubok Setol hari ini. Foto Bernama
Muhamad Zaki (kanan) bersama Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Senior Asisten Komisioner, Sheik Azhar Sheik Omar menunjukkan pelan lokasi operasi di sebahagian sempadan selepas Mesyuarat Bersama Agensi Penguatkuasa Sempadan di Markas Taktikal PGA di Lubok Setol hari ini. Foto Bernama
A
A
A

RANTAU PANJANG - Dua keutamaan risikan yang menjadi perhatian polis Kelantan tahun ini ialah penyeludupan dadah dan kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis akan bertindak melakukan pendekatan risikan berbeza berdasarkan tindakan musuh.

Menurutnya, perbincangan sudah dilakukan bersama semua pasukan keselamatan termasuk beberapa jabatan terlibat dalam usaha mencegah jenayah berkenaan.

"Perhatian kami tetap di kawasan sempadan membabitkan 127 kilometer termasuk 99 kawasan air," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Agensi Penguat Kuasa Sempadan di Bilik Gerakan Martak, Lubok Stok pada Rabu.

Jelas beliau, kawasan hot spot penjenayah akan berubah kerana mereka juga dipercayai melakukan kajian tertentu bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Muhamad Zaki berkata, pihak keselamatan akan lebih aktif dan tidak memberi peluang kepada penjenayah.

"Kita tidak akan berkompromi untuk membanteras jenayah terbabit walaupun ada cabaran termasuk di sungai dan laut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Zaki turut memaklumkan pihaknya akan menangani kehadiran warga asing yang dikatakan mengganggu keselesaan penduduk tempatan.

Tambahnya, operasi yang dilakukan bersama Jabatan Imigresen baru-baru ini mendapati golongan itu mempunyai dokumen sah tetapi mungkin mereka tidak disenangi penduduk.

"Tular baru-baru ini satu lokasi di Kelantan dikatakan sebagai mini Dhaka.

"Kita mahu menjelaskan, polis sedaya upaya mengelakkan situasi itu kerana tidak mahu melibatkan masalah sosial akibat rasa tidak puas hati terhadap warga asing," katanya

Jelas beliau lagi, tumpuan lain turut membabitkan penyeludupan beras, barang kawalan dan tanaman serta hasil pertanian.