Pegawai imigresen cedera dirempuh lelaki warga asing

Seramai 65 individu diperiksa dan hasilnya seramai 43 PATI ditahan. Foto JIMNS
Seramai 65 individu diperiksa dan hasilnya seramai 43 PATI ditahan. Foto JIMNS
A
A
A

SEREMBAN - Nekad untuk lolos daripada ditahan, seorang lelaki warga asing bertindak merempuh seorang pegawai imigresen wanita ketika serbuan Ops Selera dan Ops Gegar di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS), Kennith Tan Ai Kiang berkata, lelaki warga Myanmar berusia 30 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan dalam kawasan semak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, berikutan itu pegawai wanita berkenaan mengalami kecederaan ringan iaitu luka di bahagian lutut.

"Operasi JIMNS ini membabitkan empat lokasi sekitar Seremban bermula jam 9 pagi dan berakhir pada jam 7 malam melibatkan sepasukan 19 orang pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan.

"Seramai 65 individu telah diperiksa dan hasilnya seramai 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berumur di antara 17 hingga 47 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Antara warga asing yang diperiksa dalam Ops Selera dan Ops Gegar sekitar Seremban. Foto JIMNS
Antara warga asing yang diperiksa dalam Ops Selera dan Ops Gegar sekitar Seremban. Foto JIMNS

Ujarnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 34 lelaki dan tujuh warga Myanmar serta dua wanita warga Thailand.

"Mereka telah dihantar dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut. Sebanyak lima Borang Saman Kepada Saksi untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan ini tidak akan berkompromi ke atas apa jua bentuk kegiatan yang melanggar undang-undang dan akan memastikan usaha-usaha membanteras PATI sentiasa dilaksanakan.

"JIMNS sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan di seluruh Negeri Sembilan secara berterusan bagi menangani masalah PATI," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut berterima kasih dan mengalu-alukan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berhubung keberadaan PATI serta menjamin kerahsiaan pemberi maklumat.