Polis rampas dadah, tahan dua individu

Antara barang yang disita termasuk dadah yang ditemui hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek. Foto Ihsan PDRM
Antara barang yang disita termasuk dadah yang ditemui hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek. Foto Ihsan PDRM
A
A
A

BERA - Polis Bera merampas dadah jenis syabu, heroin dan pil yaba bernilai kira-kira RM7,000 selepas menahan seorang lelaki dan wanita dalam satu serbuan di Felda Sebertak di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir memberitahu, kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 42 dan wanita berusia 31 tahun.

Menurutnya, ia hasil operasi sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera bersama dengan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bera.

"Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek, telah menjumpai dadah jenis heroin seberat 154.90 gram, syabu seberat 11.35 gram dan Pil Yaba (2.53 gram).

"Hasil semakan rekod lampau, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkait jenayah narkotik," ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Wang tunai bernilai RM560 yang turut disita. Foto Ihsan PDRM
Wang tunai bernilai RM560 yang turut disita. Foto Ihsan PDRM

"Selain dadah tersebut, turut disita wang tunai sebanyak RM560, sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Yamaha R25.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek telah direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, IPD Bera akan terus mempertingkatkan operasi serta tangkapan bagi membendung kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini terutamanya di kawasan-kawasan Felda.