PIKM gesa operasi tangkap pengawal keselamatan warga asing

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengadakan operasi bersepadu bagi menangkap pengawal keselamatan warga asing haram secara berkala dan berterusan.

Presidennya, Mohammad Ubaidillah Iman berkata, pihaknya memandang serius laporan penangkapan 10 warga asing yang tiada permit di sekitar Lembah Klang.

“Sudah tiba masanya pihak berkuasa memastikan hanya pengawal keselamatan yang diluluskan oleh KDN diambil bekerja.

“Pengawal keselamatan yang dibenarkan bekerja adalah terdiri daripada warganegara Malaysia dan warganegara Nepal yang mempunyai permit untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, KDN menahan 10 warga asing kerana disyaki bekerja sebagai pengawal keselamatan tanpa permit kerja yang sah dalam operasi di tujuh lokasi sekitar Lembah Klang.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, operasi bersepadu itu dijalankan melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan bersama Jabatan Imigresen pada Rabu lalu.

Beliau berkata, pengawal keselamatan warga asing yang ditahan dalam operasi berkenaan adalah warga Pakistan, India, Sri Lanka dan Nepal, selain mengenal pasti empat syarikat kawalan keselamatan terlibat dalam pelanggaran itu.

Mohammad Ubaidillah turut menggesa kementerian itu untuk mengambil tindakan undang-undang secara berterusan dan membatalkan lesen syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang menggunakan pengawal keselamatan warga asing haram di bawah peruntukan perundangan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Menurut rekod keahlian PIKM, terdapat sebanyak 1,085 syarikat kawalan keselamatan dan sebanyak 99 buah syarikat telah dibatalkan oleh KDN dari tempoh tahun 2014 sehingga kini.

“PIKM berharap KDN terus mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat melakukan kesalahan termasuklah pihak yang menggunakan pengawal keselamatan warga asing secara haram,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan semua pengguna dan masyarakat supaya menggunakan syarikat kawalan keselamatan berlesen dengan KDN dan mempunyai pengawal keselamatan yang memiliki permit.