Warga emas ditahan miliki heroin lebih 2kg

Yahaya menunjukkan bungkusan berisi dadah jenis heroin yang dirampas susulan penahanan seorang warga emas di Bentong, Jumaat lalu.
Yahaya menunjukkan bungkusan berisi dadah jenis heroin yang dirampas susulan penahanan seorang warga emas di Bentong, Jumaat lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki warga emas ditahan bersama dadah jenis heroin dianggarkan seberat 2.265 kilogram bernilai RM25,000 di Taman Anggerik Height, Bentong, Jumaat lalu.

Suspek berusia 63 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 pagi ketika berada di tepi jalan di kawasan taman perumahan tersebut.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ketika ditahan, suspek membawa satu beg plastik dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati beg yang dibawa mengandungi tiga bungkusan plastik berisi dadah berkenaan.

"Hasil ujian air kencing mendapati warga emas itu turut positif dadah.

"Suspek warga tempatan itu kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 kali sebatan jika sabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Rabu.

Bungkusan berisi dadah jenis heroin yang dirampas susulan penahanan seorang warga emas di Bentong, Jumaat lalu.
Bungkusan berisi dadah jenis heroin yang dirampas susulan penahanan seorang warga emas di Bentong, Jumaat lalu.

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati, suspek mendapat bekalan dadah tersebut daripada satu pengedar di Selangor untuk diedarkan kepada penagih di kawasan Felda sekitar Bentong.

Artikel Berkaitan:

"Bekalan dadah itu boleh dibekalkan kepada 22,650 penagih jika mengambil kira penggunaan harian 0.5 gram dengan nilai keuntungan secara runcit mencecah RM60,000," jelasnya.

Sementara itu katanya, sepanjang tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai dianggarkan lebih RM2.6 juta.

"Penyitaan harta yang disyaki hasil daripada kegiatan pengedaran dadah pula lebih RM2.6 juta melibatkan 163 kertas siasatan sitaan.

"Sepanjang tempoh itu, JSJN Pahang merekodkan pencapaian cemerlang bagi tindakan ke atas pengedar dadah di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dengan 78 tangkapan atau 98 peratus," jelasnya.

Tambah beliau, melalui Op Indera yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu, polis berjaya menumpaskan lapan sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di negeri ini dengan 22 tangkapan.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 14,078 tangkapan berkait kes dadah direkodkan sepanjang tahun lalu di Pahang.

"Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 sebanyak 649 kes direkodkan tahun lalu.

"JSJN Pahang mengambil inisiatif dengan meningkatkan penguatkuasaan terhadap penagih berulang di bawah seksyen tersebut," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!