Siasatan kes bunuh Zayn Rayyan tidak dihenti - Ayob Khan

Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM
Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis masih meneruskan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan kes itu tidak akan dihentikan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan, kita tidak pernah menghentikan siasatan.

"Jika ada perkembangan baharu yang boleh dikongsikan, kita akan kongsi. Setakat ini tiada perkembangan baharu," katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Isnin.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilapor hilang pada 5 Disember tahun lepas di Damansara Damai di sini, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk semakan pangkalan data bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autistik itu.

Artikel Berkaitan: