Kes Sulu: Malaysia boleh guna dua kejayaan di Mahkamah Madrid ketepi Award Akhir

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia boleh menggunakan dua kejayaan yang dilakar di Mahkamah Madrid sebagai bukti untuk menyokong permohonan bagi mengetepikan Award Akhir di Mahkamah Paris.

Pada 25 Mei 2020, penimbang tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa telah mengeluarkan Award Akhir berjumlah AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud.

Pensyarah Kanan dan Arbitrator Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Shahrizal M Zin berkata, kedua-dua bukti adalah keputusan Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid pada 2021 yang membatalkan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara kerana tidak menyerahkan notis pelantikannya secara sah mengikut lunas undang-undang antarabangsa dan Sepanyol.

"Jadi perintah inilah yang telah dilanggar oleh Dr Stampa apabila beliau telah memindahkan prosiding timbang tara dari Madrid ke Paris,” katanya ketika ditemu bual Bernama Radio pada Selasa mengenai keputusan Mahkamah Jenayah Madrid terhadap Stampa.

Prosiding membabitkan pertikaian Sulu di Mahkamah Perancis itu masih belum selesai.

Beliau berkata, bukti kedua pula ialah keputusan Mahkamah Jenayah Madrid semalam yang mendapati Stampa bersalah menghina mahkamah serta dihukum penjara enam bulan manakala lesennya untuk beramal sebagai penimbang tara digantung selama setahun.

"Jadi dua bukti ini adalah sangat penting untuk menyokong permohonan kita dalam usaha untuk mengetepikan Award Akhir di Mahkamah Paris,” katanya.

Shahrizal turut memuji prestasi cemerlang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta pasukannya dalam memperjuang dan mempertahankan kedaulatan negara.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, lapan warga Filipina memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion-bilion dolar daripada Malaysia berhubung isu Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara dalam kes itu.

Bagi menguatkuasakan award itu, mereka dilaporkan telah cuba menyita aset syarikat minyak negara Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis.

Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah secara agresif membuat tuntutan balas terhadap kelapan-lapan individu.

Malaysia telah melakar kejayaan bersejarah dalam pertikaian berpanjangan itu apabila mahkamah di Luxembourg, Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda dan Mahkamah Rayuan di Perancis serta Mahkamah Sepanyol membuat keputusan yang memihak kepada negara. - Bernama