Pengadu kes Ebit Lew akan dipanggil beri keterangan di mahkamah

Ebit ditemani peguamnya Ram ketika hadir pada sesi perbicaraan di Mahkamah Tenom.
Ebit ditemani peguamnya Ram ketika hadir pada sesi perbicaraan di Mahkamah Tenom.
A
A
A

TENOM - Pihak pendakwaan kes pendakwah terkenal Ebit Lew akan memanggil pengadu dalam kes ini untuk memberi keterangan di mahkamah pada perbicaraan seterusnya.

Perbicaraan disambung pada 13 hingga 15 Februari depan dengan saksi baharu susulan saksi kelapan Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Yip Chang Ching yang sepatutnya masih memberi keterangan pada perbicaraan itu menyambut perayaan Tahun Baru Cina pada tarikh tersebut.

Peguam bela Datuk Ram Singh yang mewakili Ebit Lew juga turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasukannya hanya akan menyambung semula pemeriksaan balasnya terhadap Chang Ching selepas laporan diterima daripada LGMS.

Ram dalam perbicaraan pada Rabu menjelaskan bahawa laporan daripada LGMS diperlukan untuk keterlibatan mereka sebagai pakar bagi menentang keterangan Chang Ching.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasukannya tidak boleh membuat pemeriksaan semula memandangkan soalan daripada pihak pembelaan belum selesai.

Nor Azizah turut memberitahu mahkamah bahawa mereka akan memanggil pengadu dalam kes ini untuk memberi keterangan pada sesi perbicaraan seterusnya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh tersebut untuk perbicaraan seterusnya dan menyediakan penghadang kepada saksi dalam sesi tersebut.

Mahkamah turut menetapkan 20 hingga 25 Mei dan 4 hingga 7 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, mahkamah membenarkan perintah larangan (gag order) agar tidak mendedahkan identiti pengadu atau apa-apa yang boleh menjurus kepada pengenalan identiti pengadu dalam kes ini.

Sebelum itu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, diwakili barisan peguamnya iaitu Ram, Timothy Daut dan Chen Wen Jye.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah, Zahidah Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani

Ebit berhadapan dengan berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.