Projek rintis uji sistem MySubsidi Diesel, Fleet Card mulai bulan depan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada sidang media sempena lawatan kerja ke syarikat barangan dan berkenaan pelaksanaan projek rintis Sistem Kuota Diesel Subsidi 2.0 (SKDS 2.0) di Syarikat Perceptive Logistics Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, pada Selasa. Foto Bernama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada sidang media sempena lawatan kerja ke syarikat barangan dan berkenaan pelaksanaan projek rintis Sistem Kuota Diesel Subsidi 2.0 (SKDS 2.0) di Syarikat Perceptive Logistics Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Projek rintis bagi menguji sistem MySubsidi Diesel Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan sistem Fleet Card syarikat minyak menerusi enam syarikat pengangkutan barangan terpilih akan dilaksana berkuat kuasa 1 Februari depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan projek rintis itu adalah bagi perluasan pemberian kuota diesel bersubsidi kepada sektor pengangkutan darat (barangan) melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

Enam syarikat tersebut adalah Perceptive Logistic Sdn Bhd, Multimodal Freight Sdn Bhd, Mun Chuen Transport Sdn Bhd, Tan Swee Hee Sdn Bhd, Sim Yew Enterprise Sdn Bhd dan Rantau Panjang Haulage Sdn Bhd yang dipilih susulan kuota Skid Tank mereka bakal luput pada bulan ini.

"Sesi libat urus telah dilaksana untuk memberi pendedahan kepada syarikat perintis dan syarikat minyak tentang panduan untuk memohon kuota dan pelaporan menggunakan Sistem MySubsidi Diesel dan sistem Fleet Card,” katanya ketika sidang media di sini.

Armizan terdahulu melakukan lawatan kerja bagi meninjau persiapan Syarikat Perceptive Logistics untuk pelaksanaan projek rintis itu di Pelabuhan Klang, pada Selasa.

Beliau menjelaskan SKDS ketika ini diberikan melalui dua saluran iaitu Skid Tank yang melibatkan permohonan dan pemprosesan secara manual dan Fleet Card yang menggunakan sistem MySubsidi Diesel KPDN.

"Ketika ini, hanya sektor pengangkutan darat (awam) menggunakan saluran Fleet Card manakala sektor pengangkutan barangan (darat), bot penumpang sungai serta feri dan bot ke pulau utama masih menggunakan saluran Skid Tank,” katanya.

Katanya, penggunaan Fleet Card mampu mengurangkan jenayah penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi memandangkan sistem itu akan dipantau oleh KPDN dan syarikat minyak secara digital manakala Skid Tank hanya melibatkan pelaporan oleh syarikat terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Pihak KPDN akan terus memantau pelaksanaan projek rintis ini dan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem yang dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun ini,” katanya. - Bernama