Sayang bawa Fazura kembali berlakon

Fazura belajar memanah dalam tempoh tiga hari.
Fazura belajar memanah dalam tempoh tiga hari.
A
A
A

LAMA sudah rasanya tidak melihat kelibat wanita cantik ini di layar perak mahupun di kaca televisyen.

Selepas hamil dan melahirkan cahaya mata pada 2020, Nur Fazura Sharifuddin memilih untuk memperlahankan karier seni demi memberi tumpuan kepada Nur Fatima Aisya yang sedang membesar.

Justeru, apabila namanya diumumkan sebagai salah seorang pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, yang juga sekuel kepada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, ramai peminat yang meluahkan rasa teruja untuk menyaksikan bintang berusia 40 tahun itu muncul di layar perak.

Lebih istimewa, dalam naskhah sama, pengasas jenama tudung Fazura itu turut bergandingan bersama suami tercinta, Fattah Amin yang mendukung watak utama.

Watak Sayang dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah telah membawa Fazura kembali ke dunia lakonan.
Watak Sayang dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah telah membawa Fazura kembali ke dunia lakonan.

“Bila nak buat kemunculan semula, tentulah saya akan fikir naskhah yang betul-betul bersesuaian dan filem ini adalah jawapannya.

“Tidak dinafikan, watak Sayang telah membawa saya kembali ke dunia lakonan dan sukar untuk saya menolak watak seorang srikandi yang sama-sama membantu berjuang melawan penjajah,“ katanya.

Dalam keterujaan tersebut, Fazura turut sama terseret dalam polemik di media sosial susulan pertikaian kewujudan kumpulan srikandi ketika zaman itu termasuklah penggunaan busana yang dianggap tidak bersesuaian.

Artikel Berkaitan:

Mengakui agak emosi dengan stigma warga maya, anak kelahiran Pekan, Pahang itu meminta agar penonton menyaksikan filem tersebut sebelum mengkritik.

“Saya tahu ramai di luar sana suka mengkritik filem Melayu. Macam yang penerbit katakan tadi, kita belum tengok lagi tetapi sudah mengkritik.

“Cuba saksikan dahulu dan jangan cari silap. Mesej yang ingin disampaikan bagus dan berasaskan agama serta menyuntik semangat juang dalam diri kita,“ jelasnya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata demikian pada majlis tayangan perdana Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Berkenaan isu pemilihan kostum, usahawan itu yakin dengan keputusan penerbit dan pengarah.

Tambahnya, mereka sudah membuat kajian terlebih dahulu mengenai keseluruhan jalan cerita.

“Dari segi logik, pakaian itu memang memudahkan srikandi untuk berperang, bahkan ia dicipta untuk menutup aurat kami,“ ujarnya.

Berkongsi lanjut pengalamannya membintangi filem yang diarahkan oleh Shahruddin Daly dan Saiful Reza itu, pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik 2014 itu berkata, dia tidak mempunyai masa yang panjang untuk membuat latihan dan persiapan berbanding pelakon lain.

Keluarga

Fazura dan Fattah bergandingan sebagai pasangan suami isteri dalam Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.
Fazura dan Fattah bergandingan sebagai pasangan suami isteri dalam Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Bukan hanya sekadar perlu tampak mahir memanah, Fazura juga perlu tampil berkuda dalam filem tersebut.

“Sewaktu jalani penggambaran hari pertama di set saya sudah cedera tetapi memang setiap hari saya berdoa jangan jatuh kuda sebab mana tahu jika teringin nak bersalin lagi.

“Walaupun ada asas tunggang kuda sejak kecil tetapi saya tetap risau tentang peranakan saya. Apabila tengok adik-adik lain berlakon sampai jatuh kuda, saya pun risau juga,“ katanya.

Sementara itu, ditanya perancangan kerjaya dan keluarga untuk tahun 2024, Fazura berkata, mereka suami isteri tidak merancang untuk hamil anak kedua.

Bagaimanapun, sama seperti orang lain, aktres yang meledak menerusi filem Gol & Gincu itu berharap kehidupan tahun ini bertambah baik.

“Saya tidak tolak kembali aktif dan Fatima juga sangat memahami ibu ayahnya yang sibuk bekerja.

“Bila pulang dari kerja, saya akan pastikan luang masa bersama Fatima,“ ujarnya.